PHS terima pingat atas jasa terhadap bola sepak Vietnam, KPG juga mampu cipta legasi tersendiri di Malaysia

285

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo diberi penghormatan tinggi iaitu pingat diplomatik Heungin kerana jasanya terhadap mengeratkan hubungan persahabatan antara negara itu dan Korea Selatan.

Jurulatih berusia 65 tahun itu dianugerahkan kehormatan itu dalam satu majlis oleh Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol dan turut dihadiri Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.


Kerja keras yang dilakukan olehnya dalam meningkatkan tahap bola sepak negara itu sejak 2017 sememangnya diakui berjaya dengan Vietnam kini dianggap sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara.

Namun yang mengagumkan adalah, beliau juga turut menjadi ‘ejen penyatuan’ antara kedua-dua negara melalui bola sepak.

Ia membuktikan betapa sayangnya peminat bola sepak negara itu terhadap jurulatih yang membawa mereka daripada ranking 134 ke 96 dunia itu.

Seperti Vietnam, Malaysia juga telah melantik jurulatih dari Korea Selatan untuk mengendalikan skuad kebangsaan awal tahun ini iaitu Kim Pan-gon.

Walaupun pencapaiannya masih belum boleh dibandingkan dengan Hang-seo, namun beliau boleh dikatakan sudah semakin digemari oleh rata-rata peminat.

Terutama selepas kejayaan membawa negara layak ke kejohanan Piala Asia secara merit sejak 42 tahun lalu.

Perjalanannya untuk meninggalkan legasi dalam bola sepak Malaysia masih panjang lagi dan masih ada banyak lagi pencapaian yang harus dicapainya untuk membuktikan beliau benar-benar berjaya.

Sekiranya Pan-gon berjaya mencipta legasi yang serupa seperti yang dilakukan oleh Hang-seo di Vietnam, mungkin satu hari nanti namanya akan terpahat sebagai warga Korea Selatan yang paling disayangi oleh rakyat Malaysia, mengalahkan bintang-bintang K-pop yang begitu popular di sini.

Dengan sokongan semua pihak yang terlibat termasuklah pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Malaysian Football League (MFL), kelab-kelab tempatan serta para peminat, beliau mampu mencipta sejarah tersendiri dalam bola sepak Malaysia.

Ujian seterusnya buat Pan-gon adalah kejohanan Piala AFF selepas ini, kejayaan yang pernah dihadiahkan oleh Hang-seo kepada rakyat Vietnam pada tahun 2018.

Jika memenangi kejohanan itu dengan pelbagai kesukaran yang dihadapi, ia ibarat satu ‘keajaiban’ dan pastinya menaikkan lagi populariti dalam kalangan peminat.

Jurulatih yang membawa Malaysia memenangi Piala AFF iaitu Datuk K. Rajagopal sehingga dianugerahkan gelarak Datuk selepas membawa Malaysia memenangi edisi 2010.

Siapa tahu mungkin gelaran sama bakal dikurniakan kepada beliau sekiranya berjaya memenangi piala tersebut untuk Malaysia buat kali kedua.