Srikandi beregu negara hadapi laluan getir, perlu capai kedudukan dua terbaik untuk mara lebih jauh

376

Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah telah diundi di dalam Kumpulan B bagi saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang bakal membuka tirai pada esok (7 Disember) di Bangkok.

Berdasarkan undian, pasangan tersebut dilihat menghadapi laluan getir tatkala mereka diletakkan bersama lawan yang cukup hebat seperti beregu No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yifan dari China.


Pasangan ini telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang tahun ini selepas berjaya dinobatkan juara bagi beberapa kejohanan besar seperti Terbuka Denmark, Malaysia Masters dan Terbuka Indonesia.

Malah, beregu dari China ini turut cemerlang mendominasi saingan dua kejuaraan terbesar tahun ini iaitu Kejohanan Dunia BWF pada Ogos serta Kejohanan Badminton Asia yang telah berlangsung April lalu.

Pearly-Thinaah perlu bersedia tatkala mereka bakal bertemu dengan pasangan ini terlebih dahulu pada perlawanan pertama yang dijadual berlangsung esok (7 Disember).

Lawan kedua mereka adalah pasangan Indonesia, Apriyani-Siti yang baru sahaja digandingkan pada tahun ini.

Meskipun hadir sebagai pasangan baru, mereka telah menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan sepanjang tahun ini.

Antara pencapaian terbaik pasangan ini adalah sewaktu dinobatkan sebagai juara di Terbuka Singapura dan Terbuka Malaysia tahun ini, dua kali menewaskan pasangan China, Shu Xian dan Zheng Yu yang juga berada di dalam kumpulan ini.

Jadi, pasangan daripada Indonesia ini bukanlah lawan yang mudah buat wakil negara melihat kepada pengalaman yang dimiliki oleh Apriyani selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 sewaktu bergandingan bersama Greysia Polii.

Mereka melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF ini selepas menduduki tangga kesembilan hasil daripada kutipan mata yang diraih dalam kesemua kejohanan yang disertai tahun ini.

Pearly-Thinaah pernah mengalahkan beregu Indonesia ini di pusingan 32 Terbuka Perancis menerusi perlawanan sengit yang berlanjutan selama satu jam 14 minit.

Akhir sekali, Pearly-Thinaah juga perlu bersedia untuk bertemu dengan Shu Xian-Zheng Yu yang dijangka mampu menjadi ‘duri dalam daging’ melihat kepada prestasi semasa mereka.

Pasangan ini memperoleh slot ke kejohanan ini selepas menduduki tangga kedua dari segi carta pungutan mata.

Meskipun tidak memenangi banyak kejohanan selain daripada Terbuka Australia baru-baru ini, pasangan dari China ini telah mempamerkan konsistensi yang cukup baik.

Mereka berjaya meraih tempat kedua sewaktu bersainga di Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura sebelum mendapatkan tempat ketiga di Terbuka Thailand.

Kejayaan-kejayaan ini membolehkan mereka dianggap sebagai antara pesaing terhebat bagi merebut kejuaraan.

Nampaknya tugas yang cukup berat buat Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia, Rexy Mainaky bagi mencari resepi yang diperlukan untuk memastikan anak buahnya dapat berada di kedudukan kedua terbaik kumpulan untuk menempah slot layak ke pusingan seterusnya.

Selain daripada persiapan fizikal dan stamina, pasangan negara ini juga perlu kekal fokus dan memastikan mental mereka berada di tahap terbaik untuk menghadapi cabaran kuat seperti ini.

Harapnya ada kejutan yang dapat dilakukan sekali lagi oleh kedua-dua pemain ini sepertimana sewaktu mereka mengalahkan beregu kelapan dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakanan Nagahara untuk menjuarai saingan Terbuka Perancis 2022.  

Pearly dan Thinaah kini berada di ranking kesembilan dunia dan dilihat mampu untuk terus memperbaiki kedudukan lebih tinggi.