Perlu perbanyakkan lagi latihan bersama skuad bawah umur dan skuad senior, mampu cungkil lebih ramai ‘ubi’ berbakat

562

Ketika kem latihan skuad kebangsaan untuk ke Piala AFF yang sedang berlangsung ketika ini, ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon turut memberi ruang kepada pasukan B-23 kendalian E. Elavarasan untuk berlatih bersama.

Beliau sebelum ini berkata, beliau mahu menerapkan falasafah sama kepada semua skuad bawah umur negara dan berharap sesi latihan bersama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua skuad.


Selepas beberapa hari berlatih bersama-sama, seorang pemain B-23 nampaknya berjaya menarik perhatian jurulatih berusia 53 tahun itu iaitu Aliff Izwan.

Beliau akan menyertai skuad senior untuk persiapan ke Piala AFF selepas mendapat saranan Elavarasan kepada Pan-gon.

Ketika Pan-gon mula mengambil alih skuad kebangsaan, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk memastikan pasukan kebangsaan daripada setiap peringkat umur bermain dengan falsafah dan DNA yang sama.

Dan kini dapat dilihat beliau secara berkala telah melakukan ‘overhaul’ dalam skuad bawah umur negara bagi memastikan pemain muda negara turut mengikut falsafah permainan sama.

Elavarasan yang sebelum ini merupakan pembantu Pan-gon dalam skuad kebangsaan telah diberikan jawatan di pasukan B-23 bagi menyelaraskan transisi daripada skuad tersebut ke pasukan senior.

Kejayaan Aliff memikat Pan-gon juga bakal menjadi motivasi buat pemain-pemain muda lain kerana mereka tahu peluang untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan itu ada untuk semua pemain.

Pan-gon sendiri telah menyenaraikan penyerang KL City FC berusia 19 tahun, Muhammad Haqimi Azim Rosli pada panggilan kem kebangsaan kali ini.

Selepas ini tidak mustahil lebih ramai lagi pemain-pemain muda yang akan diberikan peluang oleh Pan-gon untuk berada dalam skuad utama sekiranya mereka mempamerkan permainan yang mantap.

Sebelum ini, skuad negara dilihat mempunyai gaya permainan berbeza daripada skuad senior, skuad B-23, skuad B-19 dan skuad bawah umur lain.

Selepas ini, mungkin boleh diadakan juga latihan bersama skuad bawah umur lain supaya mereka juga mendapat manfaat sama seperti apa yang dirasai skuad B-23.

Dengan ini, ia dapat memberi pendedahan awal buat pemain muda dan memperbanyakkan lagi pilihan pemain muda buat Pan-gon.