Lahir di Kanada, cipta nama di Sepanyol, Yassine Bounou cipta sejarah bersama Morocco

3,166

Pasukan Morocco telah mencipta sejarah mereka tersendiri apabila berjaya menumbangkan bekas juara Piala Dunia, Sepanyol pada perlawanan Pusingan 16 Piala Dunia 2022 Qatar sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas tempoh 90 minit permainan dan tambahan masa 30 minit yang menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti yang menyaksikan Morocco berjaya menang 3-0.


Penjaga gol Morocco iaitu Yassine Bounou menjadi wira buat pasukannya apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti daripada Carlos Soler dan Sergio Busquets manakala sepakan Pablo Sarabia pula terkena palang.

Manakala untuk pasukan Morocoo pula, Abdelhamid Sabiri, Hakim Ziyech dan Achraf Hakimi berjaya menyempurnakan sepakan untuk membawa pasukan mereka mencipta sejarah baru layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama.

Kemenangan ini bukan sahaja meneruskan perjuangan pasukan dari Afrika dalam kempen Piala Dunia kali ini tetapi juga meneruskan perjuangan pasukan Asia yang terkandas di Pusingan 16 sekaligus memecah dominasi pasukan dari Eropah dan Amerika Selatan di suku akhir.

Bounou secara tidak langsung turut membawa harapan Kanada dan CONCACAF berikutan beliau dilahirkan di Kanada.

Beliau memulakan kariernya bersama kelab di Morocco iaitu Wydad Casablanca, namun mula mencipta nama di Sepanyol apabila berhijrah ke Atletico Madrid, Zaragoza, Girona dan kini beraksi bersama gergasi Sevilla serta cukup mengenali bola sepak dan pemain Sepanyol.

Sementara itu, penjaring gol penalti kemenangan iaitu Achraf Hakimi pula dilahirkan di Madrid, Sepanyol dan memulakan karier bola sepaknya bersama Real Madrid sebelum berhijrah ke Borussia Dortmund, Inter Milan dan kini beraksi bersama salah sebuah kelab terbesar di dunia iaitu di Paris Saint-Germain.

Isteri Hakimi adalah pelakon terkenal Sepanyol iaitu Hiba Abouk di mana wanita itu mempunyai darah kacukan Libya dan Tunisia.

Kedua-dua pemain iaitu Bounou dan Hakimi tidak pernah sekali pun mahu mewakili Kanada mahu pun Sepanyol kerana dalam diri mereka, mereka adalah pemain Morocco sejak usia remaja lagi hingga sekarang.

Ini merupakan kali pertama skuad The Atlas Lions berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia dan menjadi satu-satunya pasukan dari Afrika layak untuk edisi kali ini.

Pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia sebelum ini adalah di Pusingan 16 pada tahun 1986.

Tiga pasukan dari Afrika yang pernah layak ke suku akhir sebelum ini adalah Cameroon pada Piala Dunia 1990 di Itali, Senegal pada Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun dan Ghana pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Jika anak buah Walid Regragui terus konsisten dan cemerlang, Morocco berkemungkinan besar mampu layak ke peringkat separuh akhir, dan tidak mustahil ramalan yang dibuat oleh lagenda Cameroon iaitu Samuel Eto’o mungkin akan jadi kenyataan.

Morocco merupakan satu-satunya pasukan yang mempunyai barisan pertahanan yang cukup kental kerana setakat ini mereka hanya bolos satu gol sahaja sepanjang kempen Piala Dunia kali ini dan gol tersebut pun adalah gol sendiri Nayef Aguerd ketika menentang Kanada.

Lebih menarik lagi bukan sahaja tiada pasukan lawan mampu menjaringkan gol tetapi mereka juga masih belum tewas.

Lawan Morocco di peringkat suku akhir nanti adalah di antara Portugal atau Switzerland yang mana kedua-dua pasukan ini akan turun berentap sebentar sahaja lagi.