Adakah Portugal lebih baik tanpa Cristiano Ronaldo? Maaf, jawapannya ya!

1,949

Portugal telah mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia 2022 Qatar dengan cukup bergaya apabila membelasah Switzerland 6-1 dalam perlawanan Pusingan 16 sebentar tadi.

Tidak dapat dinafikan Portugal beraksi dengan cukup baik sekali dan boleh dikatakan ia adalah persembahan terbaik mereka pada kempen Piala Dunia kali ini.


Penyerang muda Goncalo Ramos menjadi wira buat Portugal apabila menjaringkan hattrick pada minit ke-17′, 51′ dan 67′, manakala tiga gol lagi dijaringkan oleh Pepe pada minit ke-33′, Raphael Guerreiro pada minit ke-55′ dan Rafael Leao pada minit ke-90+2′.

Gol saguhati Switzerland dijaringkan oleh Manuel Akanji pada minit ke-58′.

Pada perlawanan sebentar tadi, ketua jurulatih Portugal iaitu Fernando Santos melakukan kejutan apabila tidak menurunkan bintang Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama susulan masalah disiplin pemain itu ketika dikeluarkan pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Korea Selatan sebelum ini.

Insiden itu berlaku ketika Ronaldo dikeluarkan dan digantikan dengan pemain lain yang mana penyerang Korea Selatan iaitu Cho Gue-sung meminta beliau keluar dengan cepat dan Ronaldo bertindak balas dengan meletakkan jari di mulut memberi isyarat supaya pemain lawan tidak bercakap.

Sikap tersebut nyata tidak menyenangkan Santos yang menegaskan beliau tidak gemar dengan tindakan kapten pasukannya, namun menjelaskan bahawa perkara itu sudah diselesaikan secara dalaman.

Tanpa Ronaldo, corak permainan Portugal tampak lebih lancar, tiada tekanan dan kesemua pemain bebas untuk memperlihatkan kemampuan masing-masing dan lebih seronok dan ia berkemungkinan mereka tidak perlu hantar bola kepada Ronaldo dan taktikal mereka menjadi lebih fleksibal dan sukar untuk diramal pihak lawan.

Goncalo Ramos yang menggantikan tempat Ronaldo adalah pemain muda berusia 21 dan merupakan penjaring terbanyak di Liga Portugal telah memperlihatkan kemampuan beliau untuk menjadi pilihan utama Santos selepas ini apabila menjaringkan hattrick dan satu bantuan gol.

Bekas rakan sepasukan Ronaldo di Manchester United iaitu Bruno Fernandes dan Diogo Dalot juga menyumbang satu bantuan gol termasuk Joao Felix yang menyumbang dua bantuan gol.

Walaupun perlawanan tadi merupakan penampilan ke empat Ramos dalam skuad kebangsaan, namun beliau memperlihatkan dirinya sebagai seorang pemain yang dinamik dan sentiasa bekerja keras termasuk tidak bersikap pentingkan diri.

Sikap ini berbeza dengan Ronaldo yang sentiasa menunggu bola dihantar kepadanya dan sentiasa mengejar pencapaian individu (boleh lihat daripada gol ketika menentang Uruguay yang menyaksikan beliau mengakui gol tersebut dijaringkan beliau sedangkan VAR mengesahkan gol tersebut daripada Bruno Fernandes).

Bagaimanapun pada minit ke-73, Ramos telah dikeluarkan dan digantikan dengan Ronaldo dan dapat dilihat perbezaan ketara barisan serangan Portugal selepas kemasukan pemain berusia 37 tahun itu.

Dengan aksi yang cukup memukau pada perlawanan menentang Switzerland, adalah tidak masuk akal sekiranya tidak mengekalkan Ramos dalam kesebelasan utama menentang Morocco nanti, dan jika tidak berlaku ia akan menjadi tidak adil buat pemain muda itu sekiranya reputasi mengatasi prestasi semasa, dan ia juga tidak bagus untuk moral pasukan.

Dalam pada itu, perbezaan ketara yang dapat dilihat mengapa Lionel Messi sangat dihormati pada prestasi kemuncaknya? Ia adalah kerana personalitinya yang mana setiap kerja yang dilakukannya adalah untuk pasukan tidak kira ketika bersama Argentina atau pun Paris Saint-Germain. Messi juga sentiasa turun membantu barisan pertahanan setiap kali pasukannya diserang.

Bukan hendak tidak mahu menghormati Ronaldo dari pencapaian luar biasanya sebelum ini, tetapi sejak beliau ditamatkan kontrak dari Manchester United, perselisihan faham dengan Erik ten Hag dan kini Santos, masanya sudah tamat dan jika beliau sah berhijrah ke pasukan Al-Nassr untuk beraksi di Saudi Pro League, ia tidak bermakna beliau akan mengekalkan status bintangnya.

Ya, jika benar beliau berhijrah ke Arab Saudi, Ronaldo akan menjadi satu-satunya atlet sukan dan pemain bola sepak yang menerima gaji tertinggi di dunia, tetapi bukan lagi dengan status GOAT (Greatest Of All Time) seperti dahulu.

Sementara itu, pemain ketiga tertua di Piala Dunia 2022 kali ini iaitu Pepe yang berusia 39 membuktikan beliau lebih layak memimpin pasukan di atas padang walaupun sudah berusia, tetapi dengan pengalaman yang cukup luas serta mampu bergandingan dengan pemain lebih muda seperti Ruben Dias membuktikan ia adalah kombinasi yang cukup sempurna.

Layak ke suku akhir adalah pencapaian terbaik Portugal sejak Piala Dunia 2006 yang mana ketika itu mereka layak ke separuh akhir. Mereka juga pernah layak ke separuh akhir pada 1966.

Bagaimanapun pada edisi 2018 di Rusia mereka kandas di peringkat Pusingan 16 selepas tewas 2-1 kepada Uruguay.

Untuk rekod Portugal belum pernah menjulang Piala Dunia.

Menjelang perlawanan menentang Morocco, kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak dua kali di Piala Dunia dengan masing-masing pernah menang sekali dan kalah sekali.

Portugal tewas 3-1 pada Piala Dunia 1986 dan menang 1-0 pada Piala Dunia 2018.

Perlawanan menentang Morocco akan menjadi perlawanan yang lebih sukar buat Portugal kerana pasukan dari Afrika itu baru sahaja melepaskan satu gol sepanjang kempen Piala Dunia kali ini dan gol tersebut pula adalah gol sendiri.

Mampukah Portugal benam cabaran Morocco atau perjuangan mereka akan tamat di suku akhir? Sama-sama kita tunggu.