Tugasan berat menanti YB Hannah Yeoh, perlu ‘bersihkan’ kemelut yang menempel sekian lama

456

Menteri Belia & Sukan yang baru, YB Hannah Yeoh bakal berhadapan dengan tugasan berat bagi menyelesaikan kemelut serta isu berbangkit yang melanda arena sukan negara.

Buat masa ini, beliau difahamkan tidak berkenan untuk memperkenal sebarang program baru untuk memberi laluan kepadanya mendengar keluhan atlet-atlet terlebih dahulu bagi mendapat gambaran sebenar yang sedang berlaku.


Difahamkan, ada lima perkara yang akan menjadi fokus utama Hannah selepas ini dalam usaha untuk terus memperkasakan lagi arena sukan negara.

Antaranya adalah untuk memastikan sukan dapat diakses kepada semua tanpa wujudnya sebarang halangan ataupun permasalahan yang menjadi kekangan.

Perkara ini turut ditekankan oleh Menteri Belia dan Sukan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah yang berharap agar perhatian yang lebih besar dapat diberikan dalam menyokong pembangunan industri sukan di negeri-negeri borneo.

Tidak dapat dinafikan, pembangunan dari segi kelengkapan fasiliti di negeri Sabah dan Sarawak adalah sedikit perlahan jika hendak dibandingkan dengan kawasan semenanjung Malaysia sedangkan mereka juga berjaya melahirkan atlet berkualiti untuk negara.

Sebagai contoh, ratu terjun negara, Dato’ Pandelela Rinong yang merupakan anak jati Sarawak yang telah menjadi atlet wanita pertama Malaysia menjadi pembawa bendera di upacara pembukaan Sukan Olimpik.

Pemecah rekod Sukan Komanwel dalam acara angkat berat, Bonnie Bunyau Gustin juga merupakan atlet negara yang berasal dari Sarawak.

Sabah juga tidak kurang hebatnya selepas mereka berjaya lahirkan atlet-atlet yang sebelum ini pernah mewakili Malaysia di temasya besar seperti Sukan Asia.

Antara atlet tersebut adalah Rayzam Shah bagi acara olahraga serta Jellson Jabillin yang mewakili skuad terjun lelaki negara.  

Selain itu, beliau juga perlu memastikan kebajikan kesemua atlet terbela dan mendapat penjagaan sewajarnya daripada badan-badan bertanggungjawab.

Terbaru, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) difahamkan telah kehilangan dana sebanyak RM2 Juta yang telah diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dana ini sepatutnya digunakan dalam menyokong pembangunan sukan tersebut termasuk dalam menyediakan prasarana latihan dan sebagainya.

Dikhabarkan bahawa ada pemain yang terpaksa berkongsi tempat tinggal tatkala badan induk tersebut kekurangan bajet bagi menyediakan fasiliti penginapan mencukupi.

Situasi seperti inilah yang perlu ditangani dengan segera oleh Hannah dan barisan kepimpinnanya bagi memastika ia tidak terus menjadi ‘racun’ yang akan merosakkan imej sukan negara.

Selain ragbi, ada banyak lagi sukan yang turut terpalit dengan isu melibatkan dana terutama sekali dalam sukan bola sepak.

Masalah tunggakan gaji seolah-olah menjadi ada kebiasaan buat pasukan-pasukan di Malaysia sebagaimana yang berlaku untuk Melaka United dan Sarawak United tahun ini.

Ketelusan perbelanjaan serta pengagihan kewangan dalam kesemua badan-badan induk sukan perlu diperincikan lebih mendalam bagi memastikan tidak berlakunya masalah penyelewengan yang semakin kritikal.

Pada masa yang sama, beliau juga perlu terus memberikan fokus kepada pembentangan dan pelaksanaan Akta Sukan Selamat.

Akta ini dipercayai dapat menyediakan sebuah ruang dan peluang yang lebih selamat buat kesemua atlet negara.

Akta Sukan Selamat telah dirangka oleh pimpinan Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini bagi menjadi sebuah garis panduan yang mampu mencegah gangguan seksual serta mewujudkan mekanisme undang-undang untuk melindungi pihak terbabit.

Harapnya Hannah dapat terus menekan agar inisiatif baik ini dapat segera diluluskan serta digunapakai dalam tempoh terdekat bagi menjamin persekitaran sukan negara yang lebih terpelihara.

Pada awal tahun ini, seorang jurulatih sukan wushu telah ditangkap susulan daripada laporan yang dibuat terhadapnya berkenaan gangguan seksual terhadap anak didiknya.

Dengan adanya akta ini, keselamatan dan keadilan buat para atlet dan semua pihak yang terlibat akan lebih terjamin.

Terdahulu, Hannah yang baru saja memulakan tugasnya Sabtu lalu telah merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang serta Pelancaran Jersi Rasmi Pasukan Dodgeball Kebangsaan.

Skuad dodgeball negara akan berangkat ke Mesir bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2022 yang bakal berlangsung dari 13 sehingga 17 Disember ini.