‘Comeback’ memberangsangkan di kejohanan TCL, Azizulhasni Awang bersedia bawa cabaran negara di Paris 2024

382

Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang baru menamatkan saingan Liga Juara-Juara Trek (TCL) UCI di tangga kelapan bagi kategori sprint lelaki keseluruhan, kejohanan pertamanya sejak menjalani pembedahan jantung pada April lalu.

Dalam acara kegemarannya iaitu keirin, beliau menduduki tangga kelima yang dimenangi pelumba Australia, Matthew Richardson yang juga merupakan juara keseluruhan.


Walaupun tidak berjaya menduduki podium dalam kejohanan tersebut, persembahan Azizulhasni berjaya menerima pujian jurulatihnya, John Beasley.

Menurut Beasly, kayuhan Azizulhasni pada kejohanan itu melepasi jangkaannya memandangkan beliau sudah lama tidak bertanding dan juga kerana latihan yang terhad.

Lagipun tidak mudah untuknya bersaing buat kali pertama selepas berehat panjang dengan pelumba-pelumba terbaik dunia seperti Harrie Lavreysendan dan juga Richardson dalam kejohanan itu.

Mengambil kira faktor tersebut, apa yang ditunjukkan oleh Azizulhasni dalam kejohanan itu sememangnya begitu memberangsangkan dan menunjukkan petanda positif buat wira negara itu.

Perkembangan positif yang ditunjukkan ini adalah penting kerana beliau merupakan salah seorang harapan negara untuk meraih pingat dalam Sukan Olimpik 2024 Paris.

Pelumba berusia 34 itu sendiri memasang impian untuk meraih pingat emas pada edisi tersebut selepas kecewa dua kali, meraih gangsa pada 2016 dan perak pada 2020.

Selepas ini, juara dunia 2017 itu tidak akan berehat tetapi terus menyertai Piala Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia I & II bermula 7 hingga 8 Disember di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan diikuti perlumbaan kelas 1 UCI di Melbourne, Australia pada 17 Disember.

Malaysia sememangnya bertuah mempunyai seorang atlet yang mempunyai semangat juang tinggi seperti beliau yang tidak pernah berputus asa untuk mencapai sasarannya menghadiahkan pingat emas Sukan Olimpik buat negara.

Pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia juga harus membantu beliau sebaik mungkin untuk kembali ke prestasinya.

Perjalanan Azizulhasni untuk ke Sukan Olimpik 2024 masih panjang dan perlu melalui kelayakan terlebih dahulu, namun ‘comeback’ yang ditunjukkan pada kejohanan TCL tempoh hari membuktikan kemampuannya dan skilnya tidak pernah ‘berkarat’ dan bersedia untuk sekali lagi memberi cabaran pada Sukan Olimpik 2024.