Gandingan Stanley Bernard-Bojan Hodak terus pacu KL City FC, namun kedudukan Khalid Samad di KLFA boleh jadi penentu

895

KL City FC menerima perkhabaran gembira apabila ketua pegawai eksekutifnya, Stanley Bernard mengumumkan ketua jurulatih, Bojan Hodak akan kekal bersama pasukan itu musim depan.

Menurutnya, walaupun terdapat perubahan yang akan berlaku, khidmat Bojan Hodak masih diperlukan mereka selaras dengan sasaran kelab untuk mencapai ketekalan dan daya saing.


Namun, ramai pihak yang tertanya-tanya mengenai kedudukan presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad terutama selepas beliau tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Kebiasaannya, beliau adalah individu yang gemar menjemput media atau mengeluarkan kenyataan untuk memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku di kelab itu.

Khalid sebelum ini pernah berkata bahawa mahu terus kekal sebagai presiden KLFA walau apapun keputusan pada PRU15.

Beliau menegaskan nasib beliau sama ada kekal atau tidak hanya akan ditentukan ketika Mesyuarat Agung Tahunan KLFA pada tahun depan.

Berdasarkan ‘tradisi’, jawatan Presiden KLFA kebiasaannya dipegang oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang kini dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Semenjak memegang jawatan itu, Khalid merupakan individu yang agak digemari kerana berjaya mengubah prestasi kelab itu.

Beliau merupakan individu yang membawa Stanley Bernard ke dalam pasukan KL City, yang menjadi punca kelab itu menunjukkan peningkatan, termasuk memenangi Piala Malaysia dan mara ke perlawanan akhir Piala AFC.

Sekiranya kedudukan Khalid digantikan dengan orang lain, tugas berat pastinya menanti beliau untuk mengekalkan konsistensi yang telah ditunjukkan kelab itu dalam beberapa musim ini.

Sayang juga jika keputusan PRU kali ini memberi kesan terhadap barisan pengurusan KLFA di saat kelab yang bernaung bawahnya itu sedang berada di landasan yang tepat.

Secara tidak langsung, ia akan memberi kesan kepada pengurusan KL City kerana Khalid sebelum ini pernah mendedahkan bahawa terdapat pihak yang cuba untuk menyingkirkan dirinya dan Stanley Bernard.

Buat masa ini, mungkin KL City masih akan terus beroperasi seperti biasa namun sekiranya berlaku perubahan pucuk kepimpinan selepas Mesyuarat Agung Tahunan KLFA nanti, tidak mustahil terdapat perubahan dalam kelab itu.