Selangor TOT United buat kerja dalam diam, intai dua pemain Pahang Rangers perkuat pasukan musim depan

466

Pasukan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia, Selangor TOT United dilihat tidak berdiam diri dan sedang rancak melakukan perubahan-perubahan.

Terbaru, mereka dikatakan sedang mengadakan perbincangan untuk mendapatkan khidmat dua bekas pemain Pahang Rangers, Yazid Kamaruzaman serta Syafiq Hamzah yang sah telah meninggalkan pasukan tersebut berdasarkan kenyataan rasmi yang dibuat.


Kehadiran dua pemain ini dilihat mampu memberi kelebihan untuk TOT United memberi saingan yang lebih kuat pada musim depan tatkala bakal berhadapan dengan cabaran baru dengan penyertaan pasukan Johor Darul Ta’zim.

Yazid merupakan salah seorang pemain pasukan kebangsaan yang turut beraksi pada kejohanan Piala AFF tahun ini serta temasya Sukan SEA di Hanoi.

2021 merupakan kali kedua beliau menyertai pasukan ini selepas menandatangani kontrak pada penghujung tahun lepas sebelum kali pertama beraksi ketika pasukan ini masih menggunakan nama Kuantan Rangers sekitar tahun 2018.

Sebelum bersama Pahang Rangers, Yazid merupakan antara pemain utama buat pasukan Sabah pada saingan liga yang lalu.

Beliau yang cukup terkenal dengan kemampuan permainan yang baik juga pernah membantu pasukan futsal Melaka United untuk merangkul kejuaraan pada saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) pada tahun 2017.

Ketika itu beliau beraksi bersama beberapa pemain negara seperti Khairul Effendy, Saifull Nizam dan Syed Aizad Daniel.

Syafiq telah menabur bakti dalam menjaga gawang pasukan Pahang Rangers selama lima musim bermula pada awal tahun 2018.

Beliau sebelum ini merupakan antara pemain utama yang sering dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih, Chiew Chun Yong.

Syafiq pernah membantu skuad negara muncul naib juara pada Kejuaraan Futsal AFF pada tahun 2018 selepas tewas dalam perlawanan final di tangan pasukan Thailand dengan keputusan 4-2.

Kedua-dua pemain ini telah berjaya membantu pasukan Pahang Rangers meraih gelaran naib juara pada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) serta Piala Futsal Malaysia di belakang Selangor MAC.

Kehadiran dua pemain berpengalaman di pentas antarabangsa ini akan membantu TOT United untuk mewujudkan sebuah pasukan yang mampu memberi saingan kuat berbanding hanya melengkapkan jadual.

Tambahan pula, mereka baru sahaja melepaskan 11 pemain utama termasuk Aidil Shahril, Amirul Sugito serta Asyraaf Azlee yang telah sah menyertai musuh terdekat, Selangor MAC pada musim hadapan.

Mereka perlu menggunakan tempoh persediaan ini untuk terus memancing pemain-pemain berkualiti bagi memperkuatkan pasukan.

Selain Yazid dan Syafiq, Pahang Rangers turut melepaskan khidmat Farikh Khabibor yang baru sahaja menyertai pasukan Februari 2021.

Yazid merupakan pemain bersal dari Kuala Lumpur yang memperoleh peluang menyinar bersama skuad B-20 Perak pada tahun 2016.

Beliau juga berjaya menarik minat jurulatih negara untuk turut menyenarikan namanya di dalam skuad kebangsaan.

Mungkin nama Farikh boleh turut dipertimbangkan oleh pihak TOT United melihat kepada kualiti serta kemampuannya dalam mengawal permainan.

Tidak mustahil, Selangor TOT United mampu membuat ‘comeback’ musim depan untuk memberhentikan dominasi yang ditunjukkan oleh pasukan seperti Selangor MAC dan Pahang Rangers dalam saingan MPFL.