Motivasi tambahan buat pemain Indonesia, dijanjikan bonus 100 juta jika julang trofi AFF

1,088

Sejak menyertai kejohanan Piala AFF pada 1996, percubaan Indonesia untuk menggapai gelaran juara masih belum tercapai dengan pencapaian terbaiknya adalah naib juara sebanyak enam kali, paling banyak antara negara-negara lain.

Pada edisi kali ini, pasukan yang digelar Garuda itu dilihat benar-benar mahu menamatkan penantian itu dengan membariskan skuad terkuat mereka.


Beberapa pemain dari Eropah seperti Sandy Walsh, Elkan Baggott, Sandy Walsh, Egy Maulana dan Witan Sulaeman turut dipanggil bagi memperkuatkan pasukan.

Selain daripada itu, pasukan itu juga kini mempunyai motivasi tambahan untuk menjadi juara apabila dijanjikan bonus oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Menurut media tempatan, pemain Indonesia bakal diberikan bonus sebanyak 100 juta Rupiah (kira-kira RM28,000) sekiranya mereka berjaya menjulang piala itu buat kali pertama.

Jika dilihat dari skuad yang dibawa ke kejohanan itu, Indonesia dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan selain Thailand dan Vietnam.

Namun, kedua-dua negara berkenaan terutama Thailand sedikit ‘tempang’ pada edisi kali ini apabila beberapa pemain penting mereka tidak dapat menyertai kejohanan itu seperti Chanathip Songkrasin dan Supachok Sarachat (Thailand), serta Nguyen Quang Hai (Vietnam) yang dilaporkan hanya dibenarkan menyertai ketika pusingan kalah mati.

Malaysia juga bakal tampil tanpa skuad utama pada kali ini dan membariskan ramai juga pemain-pemain baru.

Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong sendiri menyasarkan untuk menjadi juara dan memberitahu pemainnya untuk merealisasikan matlamat itu.

Keyakinan untuk menjadi juara juga turut disuarakan oleh ketua umum PSSI, Mochammad Iriawan atau Iwan Bule sebelum ini.

Pada edisi sebelum ini, Indonesia berjaya mara ke perlawanan akhir namun tewas kepada Thailand 6-2 secara agregat pada perlawanan akhir.