Perlawanan menentang Kemboja penting untuk bantu pemain baru faham corak taktikal KPG – Darren Lok

537

Penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok lihat perlawanan persahabatan menentang Kemboja ini sebagai medium terbaik buat pemain-pemain baru yang tersenarai kali ini untuk mendapatkan rentak dan keserasian di atas padang.

Beliau percaya minit permainan yang mencukupi akan membantu memudahkan kesemua pemain bagi membiasakan diri dengan corak permainan yang ingin digunakan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.


“Sudah semestinya perlawanan esok adalah aksi yang penting untuk kami terutama sekali bagi memberi minit permainan kepada pemain.

Kita ada beberapa muka baru, jadi ini peluang terbaik untuk mereka memahami gaya permainan yang ingin diterapkan oleh jurulatih,”

katanya kepada media.

Beliau juga gembira dengan senarai panggilan kali ini melihat kepada kehadiran ramai pemain muda serta berpengalaman yang mampu memberi kelebihan kepada pasukan negara.

 Darren harap kerjasama baik dapat diwujudkan di kalangan pemain bagi membantu satu sama lain dalam terus memperbaiki kekurangan pasukan dari masa ke semasa.

“Ini adalah gabungan baik di antara pemain muda, baru dan lama.

Kehadiran pemain lama yang telah memahami sistem di sini mampu membantu untuk membimbing muka-muka baru.”

Beliau yang baru sahaja sah menyertai pasukan Sabah untuk saingan Liga Malaysia musim depan bertekad untuk berikan aksi yang terbaik sekiranya disenaraikan dalam kesebelasan utama pada perlawanan esok hari (8 Disember).

Darren yang cemerlang pada musim ini bersama PJ City dilihat akan terus diletakkan sebagai sandaran utama bagi memperkuatkan barisan serangan Harimau Malaya.

“Tahun depan saya akan bermain dengan Sabah tapi ketika ini fokus saya adalah bersama dengan pasukan kebangsaan.

Saya ingin memastikan prestasi terbaik buat pasukan Malaysia dan itu adalah fokus 100% saya buat masa ini.”

Darren perlu bersaing dengan pemain muda dari KL City, Haqimi Azim serta naturalisasi baru Sri Pahang, Sergio Aguero bagi merebut tempat ke Piala AFF kelak.