Walau siapa yang kendalikan Malaysia, mereka pasukan yang lebih baik, di peringkat Asia sekalipun – Ryu Hirose

1,550

Ketua jurulatih Kemboja, Ryu Hirose mengakui Malaysia merupakan sebuah pasukan yang mempunyai tahap yang lebih baik dari Kemboja walaupun sesiapa sahaja yang mengendalikannya.

Katanya, walaupun di peringkat Asia sekalipun, Malaysia adalah pasukan yang baik dan perlawanan persahabatan menentang Malaysia esok adalah satu ujian buat mereka.


“Tak kira sesiapa yang ambil alih pasukan Malaysia, satu perkara yang jelas adalah Malaysia adalah pasukan yang lebih baik walaupun di pentas Asia.

Apa yang saya rasa adalah kami hanya perlu berlawan saja esok dan berusaha untuk menjadi pasukan yang lebih baik di ASEAN dan Asia,”

katanya.

Menurutnya, mereka baru sahaja mula melakukan persiapan beberapa hari kerana Liga Kemboja baru saja tamat Sabtu lalu.

Walaupun tempoh latihan yang singkat, beliau berkata mereka telah melakukan persediaan untuk Piala AFF sejak sekian lama lagi.

“Kami nak pastikan segala taktikal menjadi untuk perlawanan esok sebagai persediaan untuk Piala AFF.

Ini juga perlawanan tunggal kami sebelum ke Piala AFF, memang kami ada perancangan untuk menentang pasukan lain tetapi atas sebab tertentu ia tidak berlaku.”

Menurutnya, pasukan itu akan kembali ke Kemboja selepas perlawanan esok untuk mempersiapkan diri menghadapi perlawanan pertama Piala AFF menentang Filipina.

Dalam pada itu, beliau berkata ketiadaan Keisuke Honda dalam pasukan itu ke Malaysia adalah disebabkan beliau mempunyai tugasan di Piala Dunia.

Tambahnya, beliau berhasrat untuk memberi peluang buat semua pemain pada perlawanan esok dan mengakui Boris Kok merupakan pemain yang berpotensi untuk pasukannya.

Beliau juga berkata mempunyai jangkaan besar kepada pemain warisan, Nick Taylor dalam pasukan itu terutama untuk menjaringkan gol.