Choun Chanchav akui kehebatan Malaysia, peluang terbaik sebagai persediaan Kemboja ke Piala AFF

228

Pertahanan muda Kemboja, Choun Chanchav gembira berpeluang untuk beraksi pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan Malaysia.

Beliau turut mengakui bahawa pasukan kebangsaan Malaysia merupakan antara lawan terkuat di peringkat Asia Tenggara namun tetap percaya kemampuan Kemboja untuk memberikan saingan.


“Untuk saya, ini adalah perlawanan yang besar untuk kami.

Perlu diakui Malaysia adalah sebuah pasukan yang baik namun tidak banyak beza dengan Kemboja,”

katanya kepada media.

Pemain berusia 23 tahun tersebut juga menganggap perlawanan ini sebagai peluang terbaik untuk beliau dan rakan sepasukan melakukan persiapan terakhir sebelum melangkah ke saingan Piala AFF nanti.

Ini akan menjadi kali kedua buat Chanchav bagi mewakili Kemboja pada temasya terbesar di rantau ASEAN tersebut selepas kali pertama melakukannya pada tahun edisi 2020 yang lalu.

“Ini juga akan menjadi peluang terbaik untuk kami melakukan persediaan sebelum bersaing di Piala AFF.”

Beliau sebelum ini cemerlang untuk membantu kelabnya, Phnom Penh Crown memenangi saingan Cambodia Super Cup bagi menewaskan Visakha FC.

Chanchan juga telah beraksi sebanyak tiga kali pada saingan Piala AFC tahun ini di mana pasukannya terkandas di peringkat kumpulan selepas mengumpul satu kemenangan dan dua kekalakahan di tangan Hougang United dari Singapura serta wakil Vietnam, Viettel FC.

Selain Chanchav, turut terpilih untuk membarisi bahagian pertahanan Kemboja adalah pemain Sarawak United, Boris Kok.

Kemboja akan memulakan langkah di saingan Piala AFF menentang Filipina dalam perlawanan yang dijadual berlangsung 20 Disember ini.