Pernah bermain bersama Renato Sanches dan Victor Lindelof, Hussein El Dor dikait jadi muka baru Penang FC

989

Penang FC baru-baru ini telah melepaskan sebilangan besar pemain yang telah mewakili pasukan sepanjang musim ini termasuk penyerang, Lucas Espindola dan Endrick Dos Santos.

Selain import, mereka juga turut melepaskan 13 pemain tempatan termasuk penjaga gol berpengalaman, Hafizul Hakim serta pemain tengah, Azzizan Nordin.


Kini, Penang dikhabarkan bakal membawa masuk seorang pertahanan import dari Lebanon, Hussein El Dor yang kini beraksi bersama kelab Al-Ansar FC.

Hussein sebelum ini pernah menjalani sesi latihan ujian bersama pasukan gergasi Portugal, Benfica pada tahun 2016.

Pada ketika itu, beliau berpeluang untuk berlatih bersama pemain-pemain handalan dunia seperti Renatos Sanches dan Viktor Lindelof.

Musim ini, beliau mewakili pasukannya dalam aksi Piala AFC di mana beliau telah beraksi sebanyak tiga perlawanan di peringkat kumpulan termasuk ketika tewas di tangan juara, Al Seeb.

Terdahulu, Hussein juga pernah menyertai pasukan Perak pada tahun 2019 sebelum menyertai kelab Indonesia, PSM Makassar beberapa bulan selepas itu.

Beliau berjaya membantu pasukan tersebut untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala AFC pada tahun 2020 selepas cemerlang menudukkan Lalenok United dari Timor Leste di pusingan kelayakan.

Pengalamannya beraksi di sekitar ASEAN mampu memberi kelebihan buat pemain tersebut untuk mudah menyesuaikan diri dengan corak permainan di Malaysia.

Dalam pada itu, Penang juga sah akan mengekalkan khidmat pertahanan tengah tinggi lampai dari Brazil, Rafael Vitor untuk tahun keempat beliau bersama pasukan utara ini.

Gandingan Hussein dan Vitor akan mampu untuk membantu dalam memperbaiki kelemahan barisan pertahanan Penang yang mudah dibolosi pada saingan musim ini.

Pasukan Harimau Kumbang tersebut telah bolos sebanyak 45 kali dalam saingan Liga Super musim 2022 sepanjang 22 perlawanan.

Situasi ini menyebabkan mereka terpaksa akur menamatkan saingan di tangga terakhir dengan hanya pungutan 11 mata.

Mereka juga terkandas awal dalam saingan Piala Malaysia ekoran daripada kekalahan mengejut yang dihadapi pada perlawanan menentang Kuching City.

Hussein juga merupakan antara pemain yang telah membantu skuad Lebanon pada pusingan kelayakan Piala Dunia yang berlangsung pada tahun lepas.