Akibat tragedi Kanjuruhan, bola sepak tidak dipertandingkan di AUG 2024, kerugian buat atlet universiti

227

Tragedi Stadium Kanjuruhan yang berlaku pada Oktober lalu yang mengorbankan 135 nyawa telah meninggalkan kesan yang besar kepada arena bola sepak Indonesia.

Antaranya adalah liga bola sepak terpaksa dihentikan seketika dan menyaksikan tiada penonton dibenarkan di stadium apabila liga itu bersambung.


Ia juga memberi tekanan kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) sehingga Kongress Luar Biasa (KLB) dengan agenda untuk pemilihan presiden, naib presiden dan ahli majlis eksekutif diputuskan untuk diadakan pada 18 Mac 2023.

Yang terbaru, kejohanan ASEAN University Games (AUG) juga terpaksa menerima tempias selepas Indonesia, yang merupakan penganjur bagi edisi 2024, tidak akan menyenaraikan bola sepak sebagai salah satu acara.

Ini bakal menjadi edisi pertama sejak 2008 sukan itu tidak dipertandingkan di AUG, menjadikan jumlah keseluruhan 18 sukan yang bakal dipertandingkan.

Perkara ini amat mengecewakan memandangkan kejohanan itu dapat menjadi platform buat mencungkil bakat yang terdiri dalam kalangan pelajar universiti.

Bagi pelajar universiti, kejohanan seperti ini boleh menjadi batu loncatan buat mereka untuk menjadi profesional.

Menurut penganjur, ia adalah sebagai penghormatan kepada mangsa yang meninggal dunia pada tragedi tersebut.

Dengan ketiadaan sukan bola sepak yang dianggap sebagai ibu segala sukan, ia bakal mengurangkan seri kejohanan tersebut.

Ini harus dijadikan pengajaran supaya insiden seperti itu tidak berlaku lagi kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada bola sepak tempatan tetapi turut menyebabkan kejohanan antarabangsa terkesan.

Untuk rekod, Malaysia merupakan naib juara bola sepak AUG 2022 selepas tewas kepada tuan rumah, Thailand.