3 jurulatih kelab Liga 1 Indonesia kecewa hilang pemain utama untuk Piala AFF, Pan-gon ‘untung’ musim sudah berakhir

1,887

Menjelang aksi Piala AFF yang semakin hampir, isu kejohanan di luar kalendar FIFA terus rancak dibincangkan.

Kali ini, oleh beberapa orang jurulatih kelab Liga 1 Indonesia yang sejak beberapa hari ini telah meluahkan kekecewaan mereka ekoran daripada kehilangan beberapa tonggak utama yang telah dipanggil untuk menghadiri kem latihan skuad kebangsaan.


Antara yang lantang menyuarakan pendapat adalah dua jurulatih luar negara iaitu Bernardo Tavares yang melatih pasukan PSM Makassar serta Thomas Doll yang kini bersama Persija Jakarta.

Tambahan pula, Liga 1 Indonesia kini telah kembali bersambung setelah diberhentikan seketika disebabkan oleh kejadian tragis meragut nyawa yang berlaku di Stadium Kanjuruhan pada 1 Oktober yang lalu.

Disebabkan insiden tersebut, Liga 1 kini terpaksa dipadatkan sehingga sesebuah pasukan terpaksa menghadapi enam perlawanan dalam tempoh 18 hari.

Satu keadaan yang cukup memenatkan dan memerlukan seseorang jurulatih mempunyai kesemua pemainnya bagi melakukan rotasi untuk mengelakkan sebarang kecederaan memandangkan jadual yang begitu padat.

Perkara ini yang mendorong rasa tidak puas hati beberapa jurulatih yang melontar komen terhadap tindakan ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong yang melakukan kem latihan panjang.

Tavares kehilangan tiga tonggak utama pasukannya iaitu Ramadhan Sananta, Yakob Sayuri serta Dzaky Asyraf yang telah menyertai kem latihan skuad Garuda di Bali.

Beliau telah meminta Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menilai semula perkara ini kerana ia bukanlah satu kejohanan yang wajib disertai kerana berada di luar kalendar FIFA.

Tambahan pula, Dzaky telah lama meninggalkan latihan kelab kerana beliau turut dipanggil untuk menghadiri kem latihan skuad B-20 Indonesia di dua negara iaitu Turki dan Sepanyol bermula dari 15 Oktober yang lalu.

Turut senasib dengan Tavares adalah pelatih Persija, Doll yang juga kehilangan tiga pemain utama iaitu Hansamu Yama Pranata, Syahrian Abimanyu dan Muhammad Ferarri.

Perkara ini dikongsikan sekali lagi oleh Doll pada sidang media yang berlangsung selepas perlawanan menentang Borneo FC pada 6 Disember lalu.  

Ketiadaan pemain-pemain utama mengganggu perancangan jurulatih-jurulatih ini dalam persiapan untuk terus merebut kejuaraan liga musim ini.

Tidak ketinggalan, pelatih Persebaya Surabaya, Aji Santoso turut mempersoalkan mengapa pihak pengurusan skuad kebangsaan tidak memberi pelepasan kepada pemain untuk mewakili kelab memandangkan saingan sebenar Piala AFF tidak akan berlangsung sehingga 20 Disember.

Beliau sehingga terpaksa meminta pertimbangan Tae-yong untuk melepaskan dua daripada tiga pemainnya yang dipanggil untuk kembali buat sementara waktu bagi memperkuat kelab sementara tanggungjawab bersama skuad kebangsaan Indonesia belum bermula secara rasmi.

‘Untung’ untuk ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon memandangkan saingan di peringkat kelab musim ini sudah berakhir.

Perkara ini sedikit sebanyak memudahkannya untuk memanggil sebilangan besar pemain yang diinginkan bagi menggalas tanggungjawab dalam misi menebus semula kehampaan di saingan Piala AFF sebelum-sebelum ini.

Malangnya, masalah kecederaan serta isu peribadi telah menghalang beberapa orang pemain untuk menerima panggilan seperti yang berlaku kepada dua pemain KL City, Akram Mahinan dan Declan Lambert.

Kedua-dua pemain ini telah melalui satu musim yang cukup panjang tatkala kelab mereka berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir Piala AFC tahun ini.

Selain hanya menunding jari kepada pasukan kebangsaan, pihak bertanggungjawab seharusnya mempertimbangkan usaha memasukkan kejohanan Piala AFF ke dalam kalendar FIFA bagi mengelak masalah ini berterusan.