Janji 27 tahun tertunai, skuad Piala Malaysia 1995 Selangor akhirnya peroleh hadiah kemenangan
Perjuangan selama hampir tiga dekad oleh para pemain skuad Piala Malaysia Selangor tahun 1995 akhirnya terbalas.
Walaupun ia bukanlah seperti perjanjian asal, namun ini tetap menjadi perkembangan yang baik buat bekas pemain yang sudah menantikan sekian lama.
Terdahulu, perjanjian asal yang berlaku adalah pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah berjanji untuk memberikan sebidang tanah berukuran 0.4 hektar kepada setiap pemain.
Desakan demi desakan yang dilakukan akhirnya disambut oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari yang telah bertungkus lumus bermula pada 30 Mei lalu untuk membantu memastikan agar perkara ini terjadi dan tidak hanya kekal sebagai ‘janji kosong’.
Hasilnya, 26 bekas pemain skuad Selangor termasuk penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, fisioterapi serta ‘kitman’ pada tahun tersebut telah menerima satu unit rumah SelangorKu pada Majlis Cabutan Undi dan Menandatangani Penyerahan Hartanah semalam (8 Disember).
Rumah yang terletak di daerah Hulu Langat tersebut bernilai sekitar RM250,000 dengan keluasan 1,022 kaki persegi untuk setiap unit.
Jangkaan serahan kunci adalah pada awal tahun depan dan kesemua penerima tidak perlu membayar yuran penyelenggaraan apartmen selama dua tahun.
Perkara ini berjaya mengukir senyuman selepas bersabar menantikan selama 27 tahun untuk menerima ‘hadiah istimewa’ yang telah dijanjikan sebagai pembakar semangat untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 1995.
Berbekalkan semangat daripada ‘hadiah’ yang dijanjikan, pasukan Selangor berjaya menumpaskan pasukan Pahang dengan kemenangan tipis 1-0 untuk menghadiahkan Piala Malaysia ke-28 buat Gergasi Merah.
Kemenangan tersebut juga telah menamatkan penantian selama sembilan tahun pasukan Selangor untuk menjualng Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1986.
Namun, satu perkara yang menjadi tanda tanya adalah status tiga pemain import iaitu David Mitchell, Josip Biskic dan Mehmet Durakovic yang tidak tersenarai selaku penerima memandangkan apartmen SelangorKu ini hanya untuk warga tempatan.
Pihak bertanggungjawab perlu memastikan ketiga-tiga pemain ini mendapat ganjaran lain yang setimpal dengan apa yang diperoleh oleh rakan sepasukan mereka.
Tidak adil sekiranya mereka disisihkan daripada menerima sebarang habuan serupa hanya kerana status sebagai bukan warganegara sedangkan ketiga-tiga import ini merupakan tunjang utama skuad Selangor pada ketika itu yang turut berjaya membantu pasukan ini menjuarai Piala Malaysia pada tahun tersebut.