Azeem Fahmi dalam tangan yang betul, dilatih oleh bekas pemenang pingat emas Olimpik, Leroy Burell
Nampaknya masa depan pelari pecut negara, Azeem Fahmi akan terus bersinar meskipun tidak melanjutkan perancangan terdahulu untuk berlatih bersama Legenda Pecut Amerika Syarikat, Carl Lewis di Universiti Houston.
Beliau telah memilih untuk menyambung pelajaran di sebuah lagi institusi iaitu Universiti Auburn pada pertengahan November lalu selepas sekian lama berteka-teki tentang pemilihannya.
Apa yang menarik adalah ketua jurulatih acara olahraga dan padang universiti tersebut adalah pemenang pingat emas untuk Amerika Syarikat bagi acara 4x100m pada temasya Sukan Olimpik 1992 Barcelona, Leroy Burell.
Pada tahun 1989, Burell merupakan pelari terpantas di dalam sejarah acara 100m dengan catatan masa 9.94s yang telah berjaya diraih olehnya.
Beliau kemudia sekali lagi berjay mencipta rekod dunia pada tahun 1991 dengan catatan masa 9.90s sebelum pencapaian tersebut dileburkan oleh Lewis dengan kejayaan menamatkan pecutan empat saat lebih awal di Kejohanan Trek dan Balapan Dunia pada tahun yang sama.
Tidak mudah mengalah, Burell sekali lagi berhasil memecahkan rekod dunia dengan kecemerlangannya menamatkan larian dengan catatan 9.85s pada tahun 1994.
Dua tahun selepas itu, rekod beliau dipadam oleh seorang lagi pelari pecut legenda Amerika Syarikat, Donovan Bailey pada temasya Sukan Olimpik 1996.
Dengan pencapaian yang mengagumkan ini, Burell dilihat boleh memberi impak yang cukup besar terhadap perkembangan karier Azeem selepas ini.
Azeem memiliki potensi yang cukup besar walaupun sebelum berjaya melakukan kejutan dengan pecutan menakjubkannya di Kejohanan Dunia Remaja Ogos lalu.
Peningkatan luar biasa yang ditunjukkan oleh pelari pecut muda tersebut membolehkan beliau memegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s.
Tidak mustahil, impian Azeem untuk mencapai sub-10 dalam masa terdekat mampu direalisasikan menerusi bantuan Burell serta pembantunya, Ken Harden.
Harden merupakan seorang bekas pelari jarak jauh untuk negara Zimbabwe yang pernah bersaing sebanyak dua kali di pentas Sukan Olimpik.
Penyertaan pertama adalah pada tahun 1996 di Atlanta di mana beliau menyertai dua acara iaitu 400m dan 4x400m.
Kemudian, Sukan Olimpik terakhirnya adalah pada tahun 2000 di Sydney, Australia juga dengan acara yang sama.
Pengalaman kedua-dua individu ini bersaing di peringkat tertinggi dunia mampu mempengaruhi Azeem untuk terus membuktikan kemampuan sebenar dirinya.
Azeem akan memulakan pengajiannya dalam jurusan Fisiologi Senaman dan Kinesiologi pada Januari tahun hadapan.