Beregu utama negara hampa di BWF World Tour Finals, satu ‘wake up call’ untuk Rexy Mainaky menuju Olimpik 2024

287

Pemain negara yang beraksi pada Kejohanan BWF World Tour Finals ketika ini mencatatkan prestasi yang bercampur baur dengan ada yang berjaya mencipta kejutan, manakala ada juga yang mengecewakan kerana tidak mencapai jangkaan.

Yang paling mengecewakan pastinya pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.


Selain itu, pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah turut pulang hampa apabila tidak berjaya mencatat sebarang kemenangan pada kejohanan itu.

Aaron dan Wooi Yik yang berjaya memenangi Kejohanan Badminton Dunia 2022 Ogos lalu terus mempamerkan aksi tidak konsisten dengan beberapa kali melakukan kesilapan mudah yang menghadiahkan mata kepada lawan. 

Selepas menjadi juara dunia, ia dilihat dapat menjadi satu petanda bahawa mereka akan meneruskan konsistensi, terutama setelah menamatkan ‘badi’ separuh akhir.

Mereka dilihat masih bergelut dengan masalah persefahaman yang kurang baik di gelanggang yang sering membawa kekecewaan buat mereka.

Pearly dan Thinaah yang mendapat tonik menjuarai Terbuka Perancis Oktober lalu juga dilihat menghadapi masalah sama.

Apa yang membimbangkan adalah, kedua-dua pasangan beregu itu terutama Aaron dan Wooi Yik merupakan antara harapan negara untuk menghadiahkan pingat pada Olimpik 2024.

Ini adalah satu ‘wake up call’ buat Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky bagi memastikan mereka mampu menampilkan prestasi yang konsisten menuju ke kelayakan Olimpik 2024.

BAM ketika ini kekurangan tenaga jurulatih beregu selepas Flandy Limpele dan Paulus Firman meninggalkan badan induk itu.

Kini, Rexy hanya dibantu empat jurulatih beregu iaitu Tan Bin Shen, Hoon Thien How, Teo Kok Siang dan Lee Meng Yean.

Jurulatih baru dari Indonesia dilaporkan bakal menyertai barisan kejurulatihan pada hujung tahun ini selepas tamat tugasan bersama Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Diharapkan dengan kehadiran jurulatih tersebut ia mampu meningkatkan prestasi kedua-dua beregu utama negara tersebut selepas ini.

Sementara itu, Malaysia masih mempunyai wakil dalam BWF World Tour Finals iaitu beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menunjukkan persembahan yang mantap menjuarai kumpulan, dan juga pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng- Lai Pei Jing yang turut mara ke separuh akhir.