Ryu Hirose puji V.Ruventhiran, percaya Malaysia ada masa depan yang cukup cerah

432

Ketua jurulatih Kemboja, Ryu Hirose mengagumi kualiti permainan yang ditunjukkan oleh pertahanan kiri, V.Ruventhiran.

Pemain berusia 21 tahun tersebut berjaya menunjukkan aksi yang cukup memberangsangkan di separuh masa pertama membantu pasukan Malaysia melakukan serangan serta mengekang kemaraan pemain sayap lawan.


“Barisan pertahanan Malaysia beraksi dengan cukup baik terutama sekali pertahanan kiri Malaysia pada separuh masa pertama yang telah mencuri perhatian saya.

Beliau ada potensi yang besar walaupun tidak memiliki fizikal yang terlalu besar.”

Hirose juga mengakui bahawa skuad Harimau Malaya merupakan sebuah pasukan yang sangat baik meskipun dibarisi oleh kebanyakan muka-muka baru.

Jurulatih berpengalaman tersebut percaya bahawa kumpulan pemain yang dimiliki ketika ini mampu untuk membawa Malaysia untuk melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Saya rasa Malaysia ada banyak pemain berpotensi tinggi, mereka memiliki masa depan yang cukup baik.”

Pada masa yang sama, jurulatih tersebut akur dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang terkesan daripada hujan berlarutan bermula dari sebelum perlawanan bermula.

“Perlu diakui permukaan padang memang teruk tetapi kami sebenarnya sudah terbiasa kerana iklim di Kemboja adalah sama.

Tidak kisah tentang padang, kegagalan kami melakukan tekanan adalah punca utama kami tewas pada hari ini.”

Kemboja terpaksa akur menerima kekalahan besar 4-0 di tangan pasukan Malaysia yang nyata mempamerkan aksi memukau pada separuh masa pertama perlawanan.

Ini adalah perlawanan terakhir yang bakal dilalui oleh skuad Kemboja sebelum melangkah ke kejohanan Piala AFF menentang Filipina pada 20 Disember ini.