Emiliano Martinez sekali lagi selamatkan impian Lionel Messi! Dua langkah lagi buat Argentina untuk julang Piala Dunia!

398

Satu lagi perlawanan yang cukup dramatik membabitkan Argentina dan Netherlands apabila menjadi perlawanan suku akhir kedua yang terpaksa diheret sehingga ke penentuan penalti yang menyaksikan Argentina berjaya menang 4-3 dengan Emiliano Martinez menjadi wira buat pasukannya apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti.

Perlawanan bermula seimbang apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi Argentina terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-35′ menerusi Nahuel Molina untuk menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului lawan.


Argentina kemudian menambah jaringan pada minit ke-73′ menerusi penalti yang disempurnakan oleh Lionel Messi seakan-akan sudah memadam api kebangkitan pasukan Netherlands, namun pemain Louis van Gaal tidak mudah mengalah dan terus melakukan serangan untuk mencari gol pertama.

Usaha keras mereka akhirnya membuahkan hasil apabila jaringan Wout Weghorst pada minit ke-83′ berjaya merapatkan jurang, dan ketika Argentina di ambang meraikan kemenangan mereka Weghorst menyamakan kedudukan pada minit ke-90+11′ sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Tambahan masa 30 minit juga menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan penalti yang mana Martinez menjadi wira buat Argentina apabila berjaya menyelamat dua penalti awal daripada Virgil van Dijk dan Steven Berghuis.

Manakala Messi, Leandro Paredes, Gonzalo Montiel dan Lautaro Martinez berjaya menyempurnakan penalti dengan cemerlang sekaligus memberi kemenengan buat pasukan dan menempah tiket ke separuh akhir.

Kejayaan ini menyaksikan Martinez bukan sahaja menjadi wira pasukannya tetapi juga sekali lagi menyelamatkan impian rakan sepasukan Messi untuk julang Piala Dunia 2022 Qatar.

Tahun lalu Martinez menjadi wira apabila berjaya bantu Argentina untuk julang trofi Copa America yang merupakan kejuaraan pertama Messi bersama pasukan kebangsaan yang mana penjaga gol Aston Villa itu turut merima anugerah Sarung Tangan Emas.

Pemain berusia 30 tahun itu boleh dikatakan pakar dalam sepakan penalti kerana mempunyai rekod yang cukup baik menyelamatkan penalti untuk kelab dan juga untuk pasukan kebangsaan termasuk dalam kempen Piala Dunia.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan Martinez ini umpama ‘tangkal tuah’ buat Messi kerana pemenang tujuh kali Ballon d’Or sendiri mengakui yang dirinya tidak mampu mencapai kejayaan bersama pasukan kebangsaan tanpa Martinez.

Piala Dunia 2022 akan dikatakan akan menjadi kejohanan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan dan ini adalah peluang untuknya julang trofi berprestij ini buat pertama kali dan buat kali ketiga untuk Argentina.

Mereka akan berdepan dengan Croatia yang telah melakukan kejutan menumbangkan juara lima kali Piala Dunia iaitu Brazil juga menerusi penentuan sepakan penalti, dan ini menjadikan Argentina satu-satunya pasukan CONMEBOL (Amerika Selatan) yang masih berjuang di Piala Dunia.

Jika Messi benar-benar mahu menjadi pemain terbaik Argentina dan GOAT (Greatest Of All Time), dan menyamai dengan lagenda Diego Maradona, beliau perlu julang Piala Dunia kali ini.

Bantuan gol daripada Messi kepada Molina yang menjaringkan gol tadi menyaksikan bantuan gol kelima Messi dalam peringkat kalah mati Piala Dunia sekaligus mengatasi rekod terbanyak yang sebelum ini dipegang oleh lagenda Brazil iaitu Pele dengan empat bantuan gol sejak rekod Opta diperkenal pada 1966.

Bagaimanapun untuk rekod sepanjang zaman, Messi masih kurang satu untuk menyamai rekod Pele yang mana penyerang The Albiceleste kini berkongsi kedudukan jumlah bantuan gol bersama Grzegorz Lato (Poland) dan Pierre Littbarski (Jerman).

Tambahan lagi, beliau kini menjadi pemain paling banyak memberi bantuan gol di Piala Dunia daripada pemain lain yang masih aktif dengan sebanyak tujuh bantuan gol.

Messi juga telah berjaya menyamai rekod Gabriel Batistuta sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina dengan 10 gol di Piala Dunia dan dijangka beliau mampu mencipta rekod baru pada perlawanan separuh akhir nanti.

Perlawanan separuh akhir nanti menentang Croatia akan menjadi satu perlawanan yang cukup menarik kerana ini adalah peluang buat mereka untuk balas dendam atas kekalahan 3-0 di tangan Croatia empat tahun lalu di Piala Dunia 2018 di Rusia.

Untuk rekod, lima pertemuan terakhir antara Argentina dan Croatia ini menyaksikan kedua-dua pasukan pernah menang dua kali, seri sekali dan kalah dua kali.

Ketika tewas pada Croatia empat tahun lalu, Messi, Nicolas Tagliafico, Marcos Acuna, Nicolas Otamendi, Angel Di Maria dan Paulo Dybala turut berada dalam skuad; manakala penjaring untuk Croatia ketika itu termasuk Luka Modric dan ketua jurulatih Zlatko Dalic masih bersama pasukan pada edisi kali ini.

Terdahulu, kali terakhir Argentina dan Netherlands bertemu adalah pada separuh akhir Piala Dunia 2014 di Brazil yang mana perlawanan berkesudahan tanpa jaringan dan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti yang mana Argentina berjaya 4-2.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan juga juga pernah bertemu pada dua lagi perlawanan kalah mati; suku akhir Piala Dunia 1998 yang menyaksikan Dennis Bergkamp berjaya menjaringkan gol sensasi pada minit-minit akhir untuk tewaskan Argentina, dan perlawanan akhir Piala Dunia 1978 yang mana mereka berjaya menang 3-1 sekaligus julang Piala Dunia buat kali pertama.

Beberapa pemain utama masih kekal dari pertemuan pada tahun 2014 dengan Van Gaal kembali ke pangkuan Netherlands sebagai ketua jurulatih dan pemain pertahanan kiri veteran Daley Blind masih menjadi tonggak untuk pasukan kebangsaan, manakala Messi kekal sebagai sebagai penyerang paling berprolifik Argentina sehingga kini.

Skuad Oranje masih memegang rekod sebagai pasukan paling banyak layak ke perlawanan akhir Piala Dunia tanpa memenanginya. Mereka berjaya jadi naib johan pada 1974,1978 dan 2010, tewas kepada West Germany, Argentina dan Spain.

Mereka bagaimanapun berjaya julang trofi EUFA European Championship pada 1988.