Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan V. Ruventhiran sah bersama Selangor FC musim depan

2,198

Tidak dapat dinafikan ramai penyokong Selangor FC yang teruja apabila mendapat perkhabaran yang tiga pemain kebangsaan berkemungkinan besar akan menyertai pasukan itu pada musim depan iaitu Faisal Halim, Khizaimi Piee dan juga V. Ruventhiran.

Lebih membuatkan peminat Gergasi Merah lebih tidak sabar untuk melihat ketiga-tiga pemain ini menyarung jersi Selangor adalah selepas melihat aksi yang cukup memukau pasukan Harimau Malaya yang berjaya menewaskan Kemboja 4-0 dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 semalam dengan Faisal menjaringkan dua gol.


Apa yang boleh diperkatakan ketika ini adalah ketiga-tiga pemain ini sudah sah bersama Selangor pada musim depan.

Perkara itu disahkan menerusi semakan di laman sesawang Transfermarkt untuk ketiga-tiga pemain itu yang sudah menandatangani kontrak bersama Selangor pada 1 Disember lalu.

Bagaimanapun tiada butian lanjut mereka menandatangani kontrak untuk berapa lama, tetapi dijangka sekurang-kurangnya dua musim.

Pada musim ini Selangor mengharungi kempen Liga Malaysia dengan tidak konsisten dan terumbang-ambing, namun selepas pelantikan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe, mereka telah mempamerkan kebangkitan luar biasa.

Dalam tempoh yang singkat, Cheng Hoe berjaya membentuk skuad yang ampuh dengan menggunakan pemain sedia ada sehingga mereka berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, namun terpaksa akur apabila tumpas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Cheng Hoe juga akan melakukan merombak sebahagian besar pemain import yang akan ditukar dengan pemain baru yang lebih sesuai dengan taktikal dan falsafah yang akan digunakan oleh beliau.