Kejayaan bukan datang dalam tempoh satu malam. Terima kasih kepada TMJ yang sentiasa sokong pasukan kebangsaan – Dato’ S. Sivasundaram

2,739

Tidak dapat dinafikan seluruh peminat bola sepak Malaysia masih bergembira dengan kejayaan pasukan Harimau Malaya membenam Kemboja 4-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Apa yang membuatkan ramai teruja adalah kemenangan ini berjaya dicapai walaupun ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon mempertaruhkan ramai muka baru.


Kejayaan skuad negara turut mendapat perhatian Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram yang menyifatkan prestasi cemerlang Harimau Malaya ketika ini adalah hasil kerjasama erat daripada semua kelab di Liga Malaysia terutamanya Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kejayaan hari ini bukan datang dalam tempoh satu malam. Kita semua harus berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang sentiasa menyokong pasukan kebangsaan dan banyak memberikan idea-idea yang positif.

Kejayaan skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2024 adalah hasil daripada resepi pemain-pemain yang lengkap seperti JDT yang sebelum ini telah melakarkan sejarah apabila muncul sebagai kelab pertama Liga Malaysia layak ke pusingan 16 ACL (AFC Champions League) termasuk juga pemain-pemain dari Kuala Lumpur City FC yang mara ke pentas final Piala AFC dan Kedah Darul Aman FC layak ke pusingan aksi separuh akhir Zon Asia Tenggara Piala AFC.

Sumbangan pemain-pemain JDT tidak perlu dipertikaikan lagi dan FAM percaya bahawa koleksi kejayaan mampu dilakar lebih banyak jika kita memiliki kelompok pemain yang lebih banyak bermain di peringkat tertinggi seperti ACL dan Piala AFC,”

katanya.

Beliau pada masa sama juga meminta agar tiada pihak yang cuba memainkan sentimen dengan menganggap JDT tidak memiliki agenda nasional selepas sebahagia besar pemain JDT tidak menyertai pasukan untuk persiapan Piala AFF 2022.

Jelasnya lagi, beliau yakin dan percaya FAM mempunyai perancangan tersendiri yang mana mereka mahu mengembangkan lagi kelompok pemain-pemain berkualiti dengan menjadikan Piala AFF sebagai medan buat Pan-gon untuk memilih pemain terbaik yang akan dibawa untuk kejohanan Piala Asia 2024.

“Pemain-pemain berkualiti seperti JDT sentiasa menjadi keutamaan buat pasukan kebangsaan. Perkara itu tidak perlu disangkal lagi.

Saya berpendapat mungkin segelintir pihak keliru di mana FAM dalam kenyataan rasmi sebelum ini telah menerangkan objektif senarai panggilan pasukan kebangsaan iaitu mahu mengembangkan kelompok pemain-pemain.”

Sementara itu, Sivasundaram juga turut menjelaskan mengenai kenyataan rasmi FAM sebelum ini yang menyatakan bahawa; Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 yang menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan dan tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil “A” setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja.

Oleh itu, Sivasundaram mahu segala spekulasi liar dihentikan kerana FAM percaya dengan ketiadaan pemain-pemain utama akan dimanfaatkan oleh Pan-gon untuk mencari lebih banyak alternatif untuk di bawa ke Piala Asia kelak.