Harga tiket Piala AFF mungkin penghalang penyokong turun SNBJ, FAM perlu buat inisiatif lain tarik penyokong

808

Kurang 10 hari lagi sebelum kejohanan Piala AFF membuka tirainya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengumumkan penjualan tiket untuk perlawanan skuad Harimau Malaya di negara ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Laos dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), masing-masing pada 24 Disember 2022 dan 3 Januari 2023.


Untuk edisi kali ini, terdapat tiga kategori tiket dewasa yang dijual kepada orang ramai iaitu Terbuka (RM50), Premium (RM70) dan Grandstand (RM100), manakala kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun RM10.

Harga yang dinyatakan itu juga tidak termasuk caj proses yang dikenakan apabila membeli secara atas talian.

Bagaimanapun, harga yang ditetapkan itu menerima reaksi yang kurang menyenangkan dalam kalangan penyokong yang merasakan ia terlalu mahal.

Jika dibandingkan dengan kelayakan Piala Asia pada Jun lalu, FAM menyenaraikan dua jenis tiket untuk dewasa iaitu Terbuka (RM40) dan Grandstand (RM60), manakala kanak-kanak RM7.

Malah ketika itu, terdapat inisiatif untuk menggalakkan penyokong ke stadium dengan menawarkan tiket kombo unutk tiga perlawanan berharga RM100.

Pada Piala AFF 2018 pula, harga tiket jauh lebih berbeza dengan tiket Grandstand dijual pada harga RM30, manakala Terbuka RM20 dan kanak-kanak RM5.

Justeru tidak hairanlah begitu ramai penyokong yang meluahkan ketidakpuasan hati mengenai harga tiket kali ini sedangkan venue adalah sama di SNBJ.

Harga tiket yang dianggap mahal ini boleh menjadi punca ramai penyokong lebih memilih untuk menonton di kaca televisyen.

Lebih-lebih lagi bagi perlawanan yang berlangsung ketika hari bekerja iaitu menentang Singapura, mungkin tidak sampai separuh stadium.

Sebelum ini, penyokong sudah kecewa dengan tindakan sebilangan pemain yang tidak mahu menyertai skuad Piala AFF kali ini, dan harga tiket kali juga tidak membantu untuk meredakan kekecawaan tersebut.

Bagi menggalakkan orang ramai turun membanjiri stadium bagi memberi sokongan kepada pemain negara, FAM mungkin boleh memperkenalkan tiket kombo seperti yang ditawarkan ketika kelayakan Piala Asia tempoh hari.

Mungkin FAM mempunyai alasan tersendiri menetapkan harga sedemikian, namun penyokong tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka memilih untuk menonton di televisyen.

Padang di SNBJ juga masih sama seperti sebelum ini dan tiada apa-apa perubahan, justeru tiada justifikasi sebenarnya untuk menaikkan harga tiket dan ‘membebankan’ penyokong.

Selain daripada dua perlawanan di SNBJ, Malaysia juga akan berkunjung ke Thuwunna Stadium, Yangon untuk bertemu Myanmar pada 21 Disember dan My Dinh National Stadium, Hanoi untuk menentang Vietnam pada 27 Disember ini.