Skuad bawah umur JDT terus kumpul trofi, bukti pembangunan akar umbi kelab sama cemerlang dengan pasukan utama

620

Tahun 2022 boleh dianggap sebagai tahun paling gemilang buat Johor Darul Ta’zim dengan kejayaan, rekod serta sejarah yang dicatat oleh kelab itu.

Kejayaan menjulang trofi Liga Super buat kali kesembilang berturut-turut, juga membolot semua kejuaraan tempatan (Liga Super, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia) tanpa sebarang kekalahan adalah satu kejayaan yang tidak pernah dilakar mana-mana pasukan.


Selain itu, tidak dilupakan kejayaan pasukan bawah umurnya yang menyumbang kepada tahun gemilang kelab itu dengan menjuarai pelbagai piala iaitu 

Baru-baru ini pula, dua pasukan bawah umur JDT iaitu B-13 dan B-16 berjaya menjuarai kejohanan Liga Suparimau apabila menundukkan lawan masing-masing di perlawanan akhir.

Ini menambah koleksi buat pasukan bawah umur JDT yang sebelum ini telah memenangi lapan trofi iaitu Piala Presiden, Kejohanan MSSM (JDT B-17 dan B-12), Milo Challenger Cup, La Liga Youth Tournament, Yakult – Aidil Zaquan Cup, JSSL International Professional 7s, dan Singa Cup.

Kejayaan ini menunjukkan satu petanda yang amat positif buat pembangunan bola sepak akar umbi kelab itu.

Sebelum ini, kejayaan kebanyakannya tertumpu kepada pasukan utamanya, dan dengan kebangkitan pasukan bawah umur JDT, dijangka lebih ramai ‘ubi’ muda akan lahir dari kelab itu pada tahun-tahun mendatang.

Walaupun sering dicemuh kerana ‘merembat’ bakat-bakat dari negeri lain, JDT nampaknya tidak melupakan pembangunan bola sepak negeri itu sendiri dan kejayaan skuad bawah umurnya menjadi bukti tersebut.

Musim ini, beberapa pemain muda dari kelab itu seperti Daryl Sham dan Feroz Baharudin telah melalui musim yang cemerlang apabila berjaya menembusi skuad utama.

Peningkatan yang ditunjukkan oleh Feroz terutamanya amat memberangsangkan sehingga berjaya mengetepikan pemain senior lain untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Kejayaan demi kejayaan yang ditunjukkan akademi JDT ini juga merupakan satu perkara yang positif buat bola sepak negara kerana memperbanyakkan lagi bakat-bakat tempatan pada masa akan datang.

Pemain seperti Aysar Hadi dan Najmudin Akmal yang merupakan bakat muda dari pasukan itu telah memainkan peranan mereka di peringkat antarabangsa bersama pasukan B-19 negara.

Diharapkan, lebih ramai pemain dari akademi tersebut yang mampu mengikut jejak pemain-pemain di atas satu hari nanti dan menjadi nama besar dalam bola sepak tempatan.

JDT telah menunjukkan bahawa pembangunan bola sepak akar umbi mereka selari dengan kejayaan yang dicapai oleh pasukan utama.

Apa yang dilakukan oleh kelab itu dalam memperkasakan bola sepak akar umbi wajar dipuji dan dicontohi oleh pasukan-pasukan lain.