Kemboja tuntut ilmu dengan MFL cara uruskan liga, Jepun juga pernah lakukan perkara sama dan kini gah di Piala Dunia

901

Walaupun terdapat cacat cela dan kelemahan tersendiri, tidak dapat dinafikan bahawa Liga Malaysia adalah antara liga yang terbaik di benua Asia Tenggara.

Berdasarkan ranking Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sendiri, Liga Super menduduki tangga pertama di ASEAN, dan juga tempat kelapan di Asia.


Dengan reputasi yang dimiliki oleh Liga Malaysia itu, ia berjaya menarik delegasi Cambodian Premier League (CPL) baru-baru ini untuk membuat lawatan ke negara ini bagi mempelajari selok-belok pengurusan liga.

Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Satoshi Saito itu hadir bertemu pihak pengurusan Malaysian Football League (MFL), juga pihak Johor Darul Ta’zim (JDT) selain turut membuat lawatan ke Pusat Latihan Selangor FC.

Imbas kembali kira-kira 30 tahun lalu, gergasi Asia, Jepun pernah membuat lawatan ke Malaysia untuk mempelajari cara menguruskan liga sebelum mereka bergerak secara profesional.

Sebelum itu, sukan bola sepak di Jepun tidaklah begitu popular namun selepas pihak Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) menuntuk ilmu di beberapa negara termasuk Malaysia.

Selepas itu tertubuhlah J-League yang dikenali sehingga kini yang merupakan salah satu liga bola sepak terbaik di rantau Asia

Mereka telah berjaya merubah lanskap bola sepak di negara itu hingga kini tidak pernah terlepas daripada melayakkan diri ke setiap edisi Piala Dunia sejak 1998.

Namun dalam tempoh tersebut, Malaysia masih jauh lagi daripada bayang-bayang Piala Dunia, malah hanya sekali layak ke Piala Asia secara merit.

Malah, liga tempatan juga masih tidak lari daripada masalah-masalah yang tidak sepatutnya berlaku seperti tunggakan gaji.

Yang gah hanyalah pada nama dan reputasi yang dibawa oleh kelab-kelab tempatan ketika bertanding dalam pertandingan AFC.

Namun realitinya, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan lagi sebelum Liga Malaysia boleh mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.

Sekiranya masih tidak berubah, tidak mustahil sejarah akan berulang dan satu hari nanti Cambodian Premier League akan lebih maju daripada Liga Malaysia.

Perkongsian ilmu adalah sesuatu yang amat baik, tetapi seiring dengan itu, liga kita sendiri harus berusaha untuk memperbaiki diri dan mencontohi liga-liga yang lebih seperti J-League.