Sebelum ini ada Matt Davies di posisi saya, ini adalah cabaran dan peluang untuk saya – Azam Azmi

523

Pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi mahu menggunakan ketiadaan Matthew Davies pada kem kebangsaan kali ini sebagai cabaran buatnya mengisi kekosongan di posisi tersebut.

Menurutnya, peluang yang diberi oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon akan digunakan sebaik mungkin untuk menunjukkan kemampuannya.


“Sebelum ini posisi saya ada Matt Davies jadi sekarang saya kena ambil cabaran dan gunakan peluang yang diberikan kali ini.

Di sini latihan yang dijalankan lebih berintensiti daripada kelab, tetapi bila dah lama berlatih tiada masalah untuk ikut,”

katanya.

Azam merasakan tiada perbezaan dalam pasukan walaupun ramai pemain utama tidak dapat menyertai kali ini.

Menurutnya, beliau lebih tenang pada panggilan kali ini berbanding kali pertama ketika kejohanan King’s Cup di Chiang Mai September lalu.

Dalam pada itu, beliau bertekad mahu terus mencatat kemenangan serta tidak bolos pada perlawanan persahabatan seterusnya menentang Maldives.

“Jika saya diturunkan, saya mahu kekalkan momentum kemenangan dan tanpa bolos sebelum Piala AFF nanti.

Kami akan bermain di laman sendiri jadi ia beri sedikit kelebihan buat kami, staf kejurulatihan pun dah kaji kelemahan dan kelebihan mereka, jadi kami harus lakukan yang terbaik.”

Tambahnya, persefahaman dalam pasukan dalam keadaan yang baik dan kem latihan berada dalam mood yang positif setelah kemenangan besar 4-0 ke atas Kemboja tempoh hari.

Malaysia akan turun menentang Maldives dalam satu lagi aksi persahabatan Rabu ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebelum memulakan kempen Piala AFF menentang Myanmar pada 21 Disember.