Yang mana satu idaman kalbu, skuad Hijau Kuning kini miliki tiga pilihan benteng terakhir

772

Pasukan Kedah Darul Aman FC baru sahaja menandatangani penjaga gol muda, Fikri Che Soh menerusi perjanjian setahun.

Fikri sebelum ini beraksi bersama pasukan Kelantan United dalam saingan Liga Malaysia musim ini dan sumbangan terakhirnya adalah sewaktu diturunkan pada perlawanan Piala Malaysia menentang Selangor FC.  


Sebelum beraksi bersama Kelantan United, Fikri juga pernah bermain untuk beberapa kelab seperti Kelantan FC dan Perlis FA.

Kehadiran Fikri akan menambahkan lagi saingan di posisi penjaga gawang utama pasukan Kedah bagi saingan musim depan.

Terdahulu, mereka juga telah membawa masuk penjaga gol negara, Kalamullah Al-Hafiz yang telah dilepaskan oleh PJ City sejurus tamat saingan musim ini.

Kalamullah dilihat mempunyai potensi besar untuk diletakkan sebagai penjaga gawang utama skuad Hijau Kuning melihat kepada prestasi yang dipamerkannya pada ketika ini.

Beliau berjaya menempatkan diri dalam senarai tiga penjaga gol terbaik bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) di samping dua rakannya di pasukan kebangsaan, Syihan Hazmi dan Rahadiazli Rahalim.

Selain itu, Kalamullah juga telah menunjukkan persembahan yang sangat baik ketika diletakkan sebagai pilihan utama oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada perlawanan menentang Kemboja tempoh hari yang berakhir dengan kemenangan bergaya 4-0.

Bagi saingan musim 2022, Kalamullah merupakan antara penjaga gol yang berjaya mengumpulkan clean sheets terbanyak.

Sepanjang 21 perlawanan liga, beliau berjaya memastiakn pintu golnya tidak dibolosi lansung sebanyak sembilan perlawanan.

Dengan reputasi ini, Kalamullah semestinya akan memberi cabaran yang cukup besar buat penjaga gol kelahiran Kedah, Ifwat Akmal.

Musim ini, Ifwat yang dilanda kecederaan dilihat terpaksa bersaing dengan bekas penjaga gol Kedah, Shahril Saa’ri untuk mendapatkan tempat.

Meskipun tidak banyak beraksi, Ifwat tetap mempamerkan kualiti persembahan yang baik setiap kali diturunkan.

Daripada 10 aksi Liga Super, Ifwat berjaya mencatatkan empat clean sheets termasuk ketika Kedah mengikat Negeri Sembilan FC 0-0 pada Mei lalu.

Kecemerlangan tersebut berjaya diulang pada aksi kedua Piala Malaysia di antara kedua-dua pasukan yang berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Musim 2023 akan menjadi tahun ketujuh pemain berusia 26 tahun tersebut bersama pasukan Kedah.

Ifwat sebelum ini pernah mewakili skuad B-23 negara termasuk ketika memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2017.

Beliau juga pernah membantu pasukan Kedah merangkul Piala FA sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2017 dan 2019 selain memenangi Piala Malaysia edisi 2016.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain semestinya berhadapan kesukaran dalam menentukan pemain mana yang bakal diletakkan sebagai sandaran utama.

Namun, dengan jumlah perlawanan yang bertambah, kehadiran tiga penjaga gol berkualiti ini juga akan memberi kelebihan kepada jurulatih tersebut melakukan penggiliran bagi memastikan kesemua pemain dalam keadaan yang baik.

Tidak mustahil Kedah akan berjaya pamer kebangkitan luar biasa musim depan!