Pemain yang terpilih untuk Piala AFF ada peluang disenaraikan untuk Piala Asia – Kim Pan-gon

3,271

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mahu pemain-pemain yang terpilih untuk ke Piala AFF akan datang supaya mengambil peluang membuktikan kemampuan mereka kerana berpeluang untuk terpilih sekali lagi bagi kejohanan Piala Asia.

Menurutnya, barisan kejurulatihan membuat pemilihan berdasarkan taktikal yang sesuai dan bukan kemahiran individu semata-mata.


“Saya menuntut banyak perkara daripada pemain-pemain ini dan saya lihat mereka begitu berdisiplin, komited dan betul-betul cintakan negara, itu yang saya hormati.

Tugas kami adalah untuk membantu mereka berikan yang terbaik, kami akan tolong mereka untuk tonjolkan permainan yang terbaik sepanjang kejohanan,”

katanya.

Menurut Pan-gon, perlawanan persahabatan menentang Maldives esok adalah peluang terakhir buat pemain untuk dipilih dalam senarai 23 pemain untuk dibawa ke Piala AFF.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa kejohanan tersebut boleh menjadi peluang buat para pemain menunjukkan bakat mereka kepada kelab-kelab di luar negara.

Beliau berkata, tidak mustahil sekiranya pemain menunjukkan persembahan yang baik, terdapat kelab di luar negara yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.

“Kejohanan ini bukan saja ditayangkan di rantau Asia Tenggara tetapi di negara Asia lain seperti Korea Selatan juga.

Siapa tahu terdapat pencari bakat yang tertarik melihat persembahan mereka, jadi ia boleh dijadikan batu loncatan buat mereka untuk beraksi di luar negara.”

Menurutnya, beliau menekankan karakter pemain ketika melakukan pemilihan dan menganggap setiap pemain layak untuk berada dalam pasukan.

Tambahnya, beliau tidak boleh menukar terlalu banyak pemain daripada skuad sebelum ini disebabkan masa yang singkat dan ramai muka baru.