Aset terbaru dari Belanda, Dylan van Wageningen boleh dipertimbang ke skuad muda negara

6,085

Malaysia ketika ini memiliki semakin ramai pemain kacukan muda yang berpotensi untuk dibawa mewakili skuad Harimau Muda.

Terbaru, pemain B-21 Sparta Rotterdam, Dylan Van Wageningen yang dikatakan layak mewakili negara berdasarkan pertalian daripada sebelah datuknya.


Beliau yang kini berusia 19 tahun mampu menjadi aset yang besar kepada skuad B-23 negara di bawah kendalian E. Elavarasan pada ketika ini.

Pemain yang gemar beraksi di bahagian pertahanan kanan ini mampu membantu pasukan muda negara ini untuk menghadapi pelbagai kejuaraan tahun depan.

Dylan yang kini beraksi di Jack’s League telah diturunkan sebanyak 16 kali dan berjaya meletakkan pasukannya untuk berada di tangga kedua belas selepas 18 perlawanan.

Pemain tersebut telah beraksi cemerlang sewaktu membantu kelabnya daripada dibolosi dalam beberapa perlawanan termasuk ketika mencatatkan kemenangan besar 6-0 ke atas pasukan OFC Oostzaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terutama sekali Elavarasan mungkin boleh mempertimbangkan untuk ‘memujuk’ pemain ini serta menyelesaikan urusan dokumentasi beliau dengan segera bagi membolehkannya beraksi dalam masa terdekat.

Tambahan pula, pasukan B-23 negara akan menghadapi cabaran besar tahun hadapan apabila dijadual menghadapi tiga saingan utama iaitu Piala AFF B-23, Sukan SEA 2023 Kemboja serta pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Pasukan muda negara perlu menebus semula kehampaan tahun ini selepas mereka gagal beraksi cemerlang.

Di dalam saingan Piala AFF B-23 tahun ini, pasukan negara terkandas di peringka kumpulan selepas tewas mengejut di tangan pasukan Laos sebanyak dua kali.

Manakala untuk Sukan SEA, Malaysia terpaksa berpuas hati di tangga keempat setelah gagal memanfaatkan peluang mara ke perlawanan penentuan pingat gangsa yang melihatkan skuad negara tewas kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti.

Elavarasan perlu menggunakan tempoh yang tersisa ini bagi menyiapkan sebuah pasukan yang mampu memberi saingan yang jauh lebih kuat.

Nama-nama pemain kacukan seperti Richard Chin dan Kobe Jae Chong termasuk Dylan ini mungkin boleh dipertimbangkan dengan lebih serius bagi memperkuatkan pasukan dengan pengalaman mereka beraksi di Eropah.

Pasukan B-23 adalah medan percubaan terbaik buat pemain-pemain ini cuba menyesuaikan diri sebelum meletak sasaran untuk beraksi dalam skuad utama.

Untuk Dylan, beliau perlu berhadapan dengan cabaran yang sukar jika ingin mewakili pasukan senior negara tatkala posisinya kini didominasi oleh pertahanan kental Johor Darul Ta’zim, Matthew Davies.