Jordi Amat tunjuk kesungguhan tinggi untuk Indonesia, sikap yang harus dicontohi pemain naturalisasi negara

714

Menjelang kejohanan Piala AFF yang bakal berlangsung kurang 10 hari lagi, semua pasukan yang bertanding dilihat sedang bekerja keras membuat persiapan untuk ke kejohanan itu.

Indonesia yang dianggap sebagai antara pasukan pilihan juga tidak terkecuali dengan melakukan kem latihan di Bali ketika ini.


Berbanding negara-negara lain, mereka memilih untuk tidak melakukan perlawanan persahabatan dan fokus kepada kem latihan sahaja.

Mereka bakal diperkuatkan oleh pemain naturalisasi, Jordi Amat yang telah sah menjadi rakyat Indonesia baru-baru ini.

Dalam satu hantaran Instagram Jordi Amat Ahad lalu, beliau memuatnaik gambar sesi latihan pada Ahad yang menarik perhatian rakan sepasukannya di Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva yang menyuruhnya berehat.

Beliau bagaimanapun membalas dengan menyatakan bahawa tiada masa buat dirinya untuk berehat, memberi petanda bahawa dirinya komited untuk membantu Indonesia pada kejohanan Piala AFF nanti.

Biarpun beliau merupakan pemain naturalisasi, kesungguhan yang ditunjukkan olehnya tidak berbelah bagi.

Beliau sebelum ini pernah mendedahkan bahawa beliau sanggup berpindah ke JDT bagi menyesuaikan diri bermain di Asia untuk kebaikan pasukan kebangsaan.

Semangat yang ditunjukkan oleh beliau boleh menjadi contoh buat pemain naturalisasi tempatan.

Harus diakui, Malaysia mempunyai rekod yang tidak baik dengan pemain naturalisasi yang gagal menampilkan persembahan yang baik.

Malah ramai yang beranggapan program naturalisasi hanyalah membazir dan menutup ruang buat pemain tempatan.

Boleh dikatakan semua pemain naturalisasi Malaysia sebelum ini iaitu Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi gagal menambat hati penyokong selepas menunjukkan persembahan yang kurang memuaskan.

Kali ini, Kim Pan-gon menyenaraikan dua pemain nasturalisasi baru iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero dalam skuad persediaan untuk ke Piala AFF.

Sebagai pemain naturalisasi, mereka tidak dapat lari daripada jangkaan tinggi penyokong yang mengharapkan sesuatu daripada mereka.

Walaupun kedua-duanya hanya bermain untuk Sri Pahang dalam kejohanan Piala Malaysia musim ini, mereka tetap dipilih oleh Pan-gon.

Justeru, mereka harus menunjukkan kesungguhan yang tinggi bagi membuktikan proses naturalisasi serta pemilihan mereka tidak sia-sia.

Jadikan kecaman yang diterima pemain naturalisasi sebelum ini sebagai pembakar semangat untuk melakukan lebih lagi.