Kelantan FC boleh pertimbang khidmat Gong Oh-kyun, sah tinggalkan skuad B-23 Vietnam
Kelantan FC mungkin boleh mula melakukan perbincangan dengan bekas ketua jurulatih skuad B-23 Vietnam, Gong Oh-kyun untuk membimbing pasukan pada musim depan.
Jurulatih dari Korea Selatan tersebut tidak akan lagi membimbing pasukan B-23 Vietnam selepas beliau dilepaskan oleh persatuan bola sepak negara tersebut.
Perkara ini telah disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Vietnam menerusi kenyataan yang telah dikongsi sebelum ini.
Peluang ini bertepatan dengan hasrat yang sebelum ini dinyatakan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk membawa masuk seorang jurulatih dari Korea Selatan.
Oh-kyun dilihat mampu menjadi pilihan yang tepat tatkala anggaran untuk mendapatkan khidmatnya mungkin jauh lebih rendah berbanding nama besar lain seperti Park Hang-seo yang kini melatih pasukan utama Vietnam atau Kim Do-hoon, bekas jurulatih Lion City Sailors.
Kelantan FC perlu mempertimbangkan segala faktor terutama sekali dari segi kewangan sebelum melakukan sebarang keputusan bagi memastikan tiada masalah yang akan berbangkit di kemudian hari.
Ong-kyun setakat ini belum pernah mengendalikan mana-mana kelab besar dan perkara ini mungkin akan menyebabkan tanda harganya sedikit rendah.
Namun, beliau tetap memiliki pengalaman yang mencukupi dan mampu memberi kelebihan kepada pasukan Kelantan FC.
Oh-kyun berjaya membantu pasukan muda Vietnam layak ke pusingan suku akhir Piala AFC B-23 yang berlangsung di Uzbekistan tahun ini selepas mengambil alih pasukan dari Hang-seo sejurus selesai temasya Sukan SEA 2021.
Pasukan muda Vietnam terpaksa akur tersingkir di peringkat suku akhir Piala AFC B-23 selepas tewas 2-0 di tangan Saudi Arabia.
Sebelum itu, mereka berjaya menampilkan persembahan yang memukau dengan kejayaan menewaskan pasukan Malaysia serta mengikat Thailand dan Korea Selatan dengan keputusan seri pada perlawanan peringkat kumpulan.
Antara sumbangannya yang lain buat pasukan tersebut adalah dengan memperkenalkan serta memberi peluang kepada pemain-pemain muda seperti Khuat Van Khang yang cemerlang beraksi di bahagian tengah.
Kepakarannya dalam membantu perkembangan pemain muda boleh digunakan oleh beliau untuk mengasah bakat-bakat baru yang dimiliki oleh pasukan Kelantan bagi menempuh musim Liga Super yang semakin panjang pada tahun hadapan.
Selain Vietnam, Ong-kyun juga pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Shin Tae-yong sewaktu melatih pasukan Indonesia B-19 dan B-23 pada tahun 2020 yang lalu.
Pengalamannya di pentas Asia Tenggara ini akan memudahkan Ong-kyun untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan-pasukan di Malaysia.
Sebelum menjadi jurulatih, beliau merupakan seorang pemain namun perjalanan kariernya pendek selepas beliau mengumumkan persaraan pada tahun 2010 sewaktu bersama kelab Australia, Sunshine Coast.