Sri Pahang rancak buat persiapan musim baru tapi bagaimana dengan sembilan tuntutan?
Pasukan Liga Super, Sri Pahang dilihat aktif pada ketika ini selepas dikaitkan dengan perpindahan beberapa pemain seperti Kpah Sherman yang sebelum ini bersama Terengganu FC.
Mereka juga dikatakan telah mendapatkan khidmat pemain sayap Sarawak United, Shamie Iszuan yang sedang bersama pasukan kebangsaan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives.
Terbaru, mereka dikatakan sedang mengintai seorang pemain import dari Argentina, Stefano Brundo yang kini beraksi bersama pasukan Estudiantes BA di bahagian tengah serta melalui proses akhir untuk membawa masuk bekas penyerang Penang FC, Lucas Silva Espindola.
Namun, di sebalik kerancakkan ini, wujud satu persoalan samada pihak pengurusan Sri Pahang memandang serius terhadap sembilan tuntutan yang sebelum ini telah dibuat oleh penyokong tegar pasukan.
Salah satu daripada tuntutan tersebut adalah pemilihan pemain import dan baru hendaklah melalui perbincangan bersama jurulatih dan bukan atas dasar pilih kasih.
Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini masih belum ada pengumuman rasmi daripada pihak kelab mengenai individu yang telah dipilih untuk membimbing pasukan ini pada musim depan.
Terdahulu, mereka telah melantik Dato’ Dollah Salleh sebagai jurulatih interim pada Julai lalu sehingga penghujung musim selepas melepaskan khidmat Christophe Gamel.
Kini, musim sudah berakhir sekian lama untuk Sri Pahang selepas mereka tersingkir awal di Piala Malaysia namun masih belum ada apa-apa pengumuman sebaliknya mereka dilihat lebih menumpukan kepada mendapatkan pemain terlebih dahulu.
Meskipun ada khabar angin yang menyatakan bahawa Penasihat Teknikal, Fandi Ahmad sebenarnya telah dilantik tetapi peminat masih tertanya-tanya kerana tiada sebarang perkembangan terbaru yang dikongsi di mana-mana platfom media sosial rasmi pasukan.
Situasi ini juga dilihat tidak bertepatan dengan permintaan daripada EA untuk melihat persediaan yang lebih awal dari segi lantikan ketua jurulatih dan staf kejurulatihan.
Perkara ini dikhuatiri akan menyebabkan insiden lama berulang kembali di mana prestasi merudum yang ditunjukkan oleh pasukan pada musim ini menyebabkan Ultras Pahang atau lebih dikenali sebagai Elephant Army mengundurkan diri dari hadir memberikan sokongan di stadium.
Ini tidak termasuk dengan permintaan penyokong untuk mengubah nama kelab yang dilihat kurang menonjolkan identiti sebenar pasukan.
Pihak pengurusan Sri Pahang perlu menitikberatkan pandangan penyokong tatkala mereka merupakan tulang belakang bagi sesebuah pasukan.
Kehadiran serta laungan mereka yang membanjiri stadium akan turut menyemarakkan semangat para pemain untuk terus berikan yang terbaik di atas padang.
Semoga musim 2023 akan jadi medan perubahan buat pasukan ini yang pernah bergelar sebagai salah sebuah gergasi bola sepak di Malaysia.
Hogoh Pahang Hogoh!