Jaguh pecut Olimpik negara, S Sabapathy meninggal dunia, kehilangan besar buat arena olahraga Malaysia

271

Dunia olahraga negara kehilangan seroang permata yang pernah mengharukan nama negara, S Sabapathy yang menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi.

Mendiang yang pernah membawa cabaran negara di Sukan Olimpik 1972 di Munich dalam acara 4×400 meter terlantar di rumah sejak beberapa minggu lalu meninggal pada usia 75 tahun.


Legenda sukan negara itu mengalami sakit jantung serta jangkitan kuman di paru-paru, selain masalah buah pinggang dan dementia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan serta megharapkan jagaan isterinya untuk makan dan minum.

Beliau amat dikenali dalam sukan olahraga tempatan satu ketika dahulu dan beberapa kali membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

Selain daripada Olimpik, beliau juga pernah mewakili negara pada Sukan SEAP sebanyak tiga kali, iaitu pada 1971, 1973 dan 1975.

Beliau berjaya menyumbang pingat emas pada edisi 1971 dan 1973.

Beliau juga pernah aktif dalam bidang kejurulatihan dan merupakan salah seorang individu yang pernah melatih bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek.

Selain daripada menjadi atlet dan jurulatih, beliau turut aktif dalam kebajikan atlet, pernah berkhidmat bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan.

Untuk rekod, beliau turut mempunyai seorang abang yang juga pernah mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik iaitu pemain hoki padang, Arumugam Sabapathy.

Pemergian beliau pastinya satu kehilangan besar buat sukan olahraga tempatan, dan juga negara secara am.