Duo import JDT atau Mr Kuala Lumpur bakal dinobat pemain import terbaik Liga Malaysia musim ini

434

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 semakin hampir ke kemuncak selepas mereka menyenaraikan tiga pemain teratas bagi setiap kategori.

Antara yang menarik perhatian adalah senarai ‘top three’ import terbaik musim ini dibarisi oleh dua pemain Johor Darul Ta’zim FC iaitu Bergson da Silva dan Fernando Forestieri serta ketua pasukan KL City, Paulo Josue.


Berdasarkan pencapaian musim ini, boleh dikatakan Bergson merupakan antara pilihan utama untuk memenangi anugerah tersebut.

Sepanjang tahun ini, pemain berusia 31 tahun tersebut telah berjaya menjaringkan 40 gol di kesemua pertandingan tempatan termasuk rekod 29 jaringan semusim di Liga Super.

Ketajaman beliau bahagian hadapan gawang lawan juga telah berjaya membawa pasukan JDT cemerlang di pentas AFC Champions League (ACL) tahun ini dengan enam jaringan yang diraih daripada enam perlawanan keseluruhan.

Satu rekod yang cukup baik bagi seorang pemain import sehingga membolehkan beliau tersenarai di antara penjaring terbanyak dunia bersama bintang dunia seperti Erling Haaland dan Kylian Mbappe.

Tidak kurang beza dengan rakan sepasukannya, Forestieri yang berjaya memainkan peranan besar untuk pasukan Harimau Selatan.

Beliau yang baru sahaja menyertai pasukan pada Januari lalu telah menunjukkan impak segera dengan kejayaannya mencatatkan 25 gol keseluruhan musim ini untuk kelabnya.

Kelebihan yang dimiliki oleh Forestieri adalah kelincahan beliau di atas padang serta kehebatannya mencipta peluang menjaringkan gol kepada penyerang utama.

Forestieri mengumpul 12 bantuan jaringan musim ini dan tujuh daripadanya terhasil sepanjang aksi Liga Super.

Gandingan beliau dan Bergson berada di tangga teratas mendahului carta berbanding duo Selangor FC, Herlison Caion dan Nor Hakim Hassan di tangga kedua.

Namun, pencapaian Josue juga boleh diberikan pujian tatkala berjaya membawa pasukan KL City melangkah sehingga ke perlawanan akhir Piala AFC tahun ini.

Dalam saingan tempatan, beliau mempamerkan aksi cemerlang untuk menjaringkan enam gol serta tujuh bantuan jaringan daripada 20 perlawanan Liga Super yang diturunkan.

Pemain berusia 33 tahun ini juga berjaya memimpin KL City untuk layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia sebelum mereka tewas di tangan Terengganu FC dengan agregat 4-2.

Josue mula beraksi bersama pasukan ibu kota pada tahun 2017 sehingga ke hari ini, sebelum ini wujud ura-ura bahawa beliau akan dijadikan pemain naturalisasi terbaru bersama rakan sepasukannya, Romel Morales namun mendapat pertikaian ekoran umurnya.

Harapnya musim depan, kita akan dapat terus melihat aksi-aksi memukau daripada pemain import yang dibawa masuk oleh kesemua pasukan bagi merancakkan lagi saingan liga tempatan.