T. Avineshwaran alami aura yang luar biasa di Piala Dunia, percaya masih terlalu awal untuk Malaysia jadi penganjur

302

Wartawan sukan ternama, T. Avineshwaran berkesempatan bertandang ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia secara lansung.

Beliau mengakui dapat merasakan atmosfera yang cukup berbeza dan tidak pernah dirasai sebelum ini di mana-mana perlawanan bola sepak yang dihadirinya.


“Aura dia sangat lain di Piala Dunia, tahap fanatik juga berbeza dengan kepelbagaian latar belakang penyokong yang hadir ke stadium.

Ada orang Brazil bermain ‘Samba’ dan penyokong Argentina yang melaungkan ‘chant’ mereka dengan penuh semangat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Avin merasakan masih terlalu awal untuk peminat di Malaysia meletakkan harapan melihat Piala Dunia di negara ini.

Ini kerana, masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh kesemua pihak termasuk orang ramai dalam memastikan kesemua aspek penting dapat dipenuhi bagi menjadi tuan rumah kepada kejohanan berprestij dunia tersebut terutama sekali dari segi kewangan.

“Untuk saya, sekarang terlalu awal untuk Malaysia kerana untuk menganjurkan Piala Dunia perlu ada satu skala yang sangat besar.

Kita perlu berbilion wang untuk adakan Piala Dunia, stadium juga perlu diambil kira.”

Tambahnya lagi, kesediaan dari segi lokasi juga merupakan salah sebuah faktor penting yang perlu dititikberatkan.

Ketika ini, dapat dilihat bahawa kebanyakan stadium yang ada di Malaysia gagal diselenggara dengan baik oleh pihak sepatutnya.

“Tengok Stadium Shah Alam dan Ipoh yang memiliki kapasiti besar tapi tiada penyelenggaraan yang baik.

Kalau tiada perkara ini, macam mana kita mahu anjurkan Piala Dunia.”

Dalam pada itu, Avin turut gembira dengan peningkatan luar biasa yang ditunjukkan oleh wakil-wakil Asia yang bersaing di Piala Dunia tahun ini.

Beberapa pasukan berjaya melakukan kejutan selepas mencapai kemenangan mengatasi pasukan gergasi seperti yang dilakukan oleh Jepun ke atas Jerman.  

“Yang paling saya gembira adalah prestasi pasukan Asia untuk melihat pasukan seperti Jepun, Korea Selatan, Iran dan Arab Saudi berjaya memberikan aksi yang amat memberangsangkan.

Itu adalah satu indikasi bahawa Asia tidak tidur dan akan menjadi lebih kuat pada masa akan datang terutamanya pasukan Jepun yang ada potensi untuk pergi ke separuh akhir pada tahun 2026.”

Tidak mustahil peningkatan ini akan berterusan tatkala mereka memiliki barisan pemain muda yang berpotensi besar untuk kekal menyinar di masa depan.