Kim Pan-gon akan lakukan penelitian lanjut sebelum buat keputusan akhir, akan umumkan dalam masa terdekat

280

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon setakat ini masih belum mahu memberi gambaran pemain yang akan dipilih olehnya bagi menggalas cabaran di kejohanan Piala AFF yang bakal berlangsung pada 21 Disember ini bertemu Myanmar.

Beliau dan barisan kejurulatihannya akan melakukan analisis mendalam berdasarkan prestasi yang dipamerkan oleh kesemua pemain pada dua perlawanan persahabatan serta sesi latihan yang akan bersambung selepas ini.


“Mungkin dalam masa terdekat kita akan berikan keputusan.

Untuk saya dari segi individu, semua pemain mempunyai kemampuan yang cukup baik tapi kami perlu meneliti menerusi corak taktikal yang ingin diterapkan,”

katanya kepada media.

Jurulatih dari Korea Selatan tersebut juga perlu melihat terlebih dahulu keadaan beberapa pemain yang dilanda kecederaan pada perlawanan menentang Maldives sebentar tadi (14 Disember).

Antara pemain yang dilihat menghadapi kecederaan adalah salah seorang ketua pasukan, Safawi Rasid serta pertahanan, V Ruventhiran yang terpaksa dikeluarkan lebih awal.

“Pasukan perubatan perlu memeriksa terlebih dahulu keadaan semua pemain yang berhadapan kecederaan sebelum kita melakukan keputusan.”

Pada masa yang sama, Pan-gon menegaskan bahawa beliau tidak memiliki taktikal atau corak permainan yang tetap.

Beliau memberi gambaran akan melihat lawan yang perlu dihadapi terlebih dahulu sebelum menentukan gaya permainanan yang akan digunakan.

“Kami fleksibel dengan mana-mana formasi dan tidak bergantung dengan hanya satu taktikal permainan.

Bergantung kepada pendekatan permainan pasukan lawan baru kami boleh tentukan formasi yang terbaik untuk digunakan.”

Pemain Harimau Malaya berjaya mengekalkan kecemerlangan pada perlawanan terdahulu menentang Kemboja untuk mudah menewaskan Maldives 3-0 pada aksi pemanas badan terakhir.

 Pan-gon perlu menggunakan tempoh yang tersisa ini untuk memperbaiki kekurangan skuad yang berjaya dikenalpasti sebelum menghadapi saingan yang lebih hebat bertemu pasukan besar seperti Vietnam dan Singapura.