Faisal Halim bangga dengan rakan sepasukan, berjaya buktikan bukan sekadar pilihan kedua

333

Ketua pasukan bola sepak negara, Faisal Halim ternyata berbangga dengan semangat dan aksi yang ditunjukkan oleh rakan sepasukannya pada dua perlawanan persahabatan yang berjaya dimenangi oleh mereka.

Ini sekaligus sedikit sebanyak berjaya menepis dakwaan bahawa pasukan yang dipanggil kali ini adalah sekadar mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain-pemain utama dari Johor Darul Ta’zim FC atau Sri Pahang FC.


“Sebenarnya semua pemain bekerja keras dan berjaya membuktikan bahawa mereka layak untuk berada di dalam skuad.

Itu yang saya puji pada rakan-rakan saya kerana mereka ambil cabaran ini untuk majukan karier mereka,”

katanya kepada media.

Pemain berusia 24 tahun ini juga optimis bahawa skuad yang bakal dibawa kali ini mampu untuk menebus semula kehampaan yang dialami oleh pasukan negara pada edisi terakhir sebelum ini.

Kesemua pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon pada ketika ini memiliki kelebihan dari segi individu dan mampu memberi kelebihan besar kepada pasukan.

“Saya yakin dengan skuad ini, kita berharap untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi.

Kita tidak boleh janjikan yang istimewa kepada rakyat Malaysia, cuma kami berjanji di setiap perlawanan kami akan bermain dengan baik.”

Faisal juga berpuas hati dengan kejayaan mereka menundukkan pasukan Maldives dengan kemenangan besar pada aksi pemanas badan terakhir ini.

Beliau berjaya menjaringkan gol kedua negara menerusi larian pantas memintas barisan pertahanan Maldives untuk meletakkan pasukan negara selesa di minit ke-65.

“Bukan jaringan yang kita pentingkan tetapi dari segi tekanan kepada pihak lawan untuk memenangi bola.

3-0 saya rasa satu keputusan yang baik sebenarnya.”

Dengan prestasi yang dipamerkan oleh Faisal ketika ini, beliau dilihat tiada masalah untuk menempah tempatnya bersama skuad kebangsaan.

Kelincahan beliau di bahagian serangan semestinya akan terus ditagih oleh Pan-gon dalam memastikan impian membawa Malaysia melangkah lebih jauh di kejohanan Piala AFF kali ini dapat tercapai.