Khuzaimi Piee akui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki sebelum Piala AFF

195

Pertahanan kebangsaan, Khuzaimi Piee mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pasukan menjelang persiapan ke kejohanan Piala AFF.

Menurutnya, terdapat sedikit kelalaian di bahagian pertahanan ketika menentang Maldives sebentar tadi, namun beliau percaya ia akan diperbaiki dalam sesi latihan sebelum berangkat ke Myanmar untuk perlawanan pertama nanti.


“Syukur kita dapat catatkan kemenangan malam ini tetapi masih banyak yang kita perlu perbaiki sebelum ke Myanmar nanti.

Nampak ada sedikit kelalaian tetapi kami akan cuba perbetulkan dalam sesi latihan dalam masa terdekat ini,”

katanya.

Beliau berkata, ketua jurulatih, Kim Pan-gon ada berpesan kepada pemain untuk mengelakkan daripada mendapat kecederaan menjelang Piala AFF, menyebabkan permainan mereka pada mala mini sedikit perlahan.

Namun beliau berkata, pada Piala AFF nanti mereka akan memberikan 100 peratus di atas padang.

“Dalam sesi latihan kami banyak berbincang mengenai pelan permainan dan ia tidak menjadi masalah untuk menguatkan persefahaman.

Saya hormati semua pemain kerana mereka berikan komitmen penuh dalam perlawanan dan juga sesi latihan.”

Katanya, pasukan kini akan fokus berlatih bersungguh-sungguh menjelang baki beberapa hari sebelum Piala AFF.

Menurutnya, setiap perlawanan adalah penting buat mereka dan tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lawan.