Saya bukanlah pemain penting, saya cuma jalankan tanggungjawab untuk negara – Lee Tuck

1,070

Pemain kebangsaan, Lee Tuck tidak merasakan dirinya pemain penting dalam skuad kebangsaan walaupun menunjukkan persembahan yang baik dengan dua gol dalam dua perlawanan pertamanya.

Menurutnya, beliau hanya menggalas tanggungjawab yang diberikan olehnya di dalam dan luar padang untuk membantu pasukan sebaik mungkin.


“Saya tak rasa diri saya seorang pemain penting dalam pasukan, saya hanya memainkan peranan yang diberikan oleh jurulatih dengan 100 peratus sama ada kecil atau besar.

Sudah tentu ia adalah permulaan yang baik buat saya bersama skuad kebangsaan tetapi apa yang penting adalah kami mendapatkan keputusan yang baik untuk membina semangat menuju ke kejohanan Piala AFF nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau mengakui tekanan pasti ada untuknya selepas menampilkan persembahan yang baik kerana penyokong akan mengharapkan beliau mampu meneruskan momentum.

Sebagai pemain, beliau berharap mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan namun secara realistik perkara itu adalah sukar, apa yang lebih penting adalah beliau mampu membantu pasukan dari setiap aspek.

“Saya suka cabar diri, sebagai seorang atlet saya mahu menjadi lebih baik setiap masa dan ini adalah peluang untuk tingkatkan permainan saya.

Jangkaan penyokong memang memberi tekanan tetapi ia adalah perkara yang baik, saya tahu saya telah letakkan tanda aras yang tinggi jadi saya perlu terus tingkatkan prestasi.”

Beliau turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh para penyokong kepada mereka dan menjadikan ia sebagai satu pembakar semangat untuk memberikan lebih baik.

Tambahnya, keghairahan yang ditunjukkan oleh para penyokong amat bermakna buat pasukan ketika berada di atas padang.