Juara enam kali Piala AFF dikejutkan pasukan ranking ke-157 dunia, persiapan Harimau Malaya tampak lebih baik walaupun hadap masalah sama

3,055

Juara bertahan Piala AFF, Thailand tewas mengejut pada aksi pemanas badan yang berlangsung pada 14 Disember bertemu Chinese Taipei.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Thammasat tersebut berakhir dengan kemenangan tipis Chinese Taipei menerusi jaringan tunggal Chen Jui-chieh pada minit ke-72.


Lebih mengejutkan, Chinese Taipei merupakan pasukan yang ketika ini berada di ranking ke-157 dunia jauh di belakang Thailand di kedudukan ke-111.

Keputusan ini sedikit sebanyak merencatkan persiapan serta motivasi skuad Thailand menjelang aksi Piala AFF yang bakal bermula pada 20 Disember ini.

Tambahan pula, mereka bakal hadir ke kejohanan kali ini dengan reputasi besar sebagai juara bertahan selepas kejayaan mereka menundukkan Indonesia pada final edisi yang terakhir, 2020.

Antara penyebab utama keadaan ini dilihat berpunca daripada ketiadaan tiga pemain utama seperti Chanathip Songkrasin, Supachok Sarachat dan Chaowat Veerachat yang kektika ini beraksi di saingan Liga J bersama kelab masing-masing.

Perkara ini seakan-akan serupa dengan apa yang berlaku di kem latihan skuad Malaysia dengan kehilangan beberapa pemain utama yang terpaksa menolak panggilan atas sebab-sebab tertentu.

Walau bagaimanapun, Malaysia pada waktu ini tampak melalui sesi persiapan yang lebih baik berbanding Thailand.

Berjaya mencatatkan dua kemenangan menyakinkan bertemu Kemboja dan Maldives walaupun terdapat beberapa kekurangan yang masih perlu diperbaiki.

Lebih manis, Malaysia cemerlang dengan mencatatkan tujuh gol tanpa dibolosi hasil daripada dua perlawanan ini.

Pada aksi terbaru bertemu Maldives, kesemua pemain Malaysia berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dan berhasil menterjemahkan kepada jaringan.

Kehadiran pemain naturalisasi baru, Lee Tuck memberikan impak yang cukup baik dan mendapat perhatian daripada peminat-peminat bola sepak negara.

Selain beliau, pemain-pemain muda yang baru dimasukkan seperti Sharul Nazeem juga menunjukkan aksi yang baik namun ada penambahbaikan yang perlu dilakukan sebelum berhadapan cabaran yang lebih getir di Piala AFF bertemu pasukan seperti Vietnam dan Singapura.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon kini dalam proses pemilihan senarai akhir pemain yang dipercayai mampu membiasakan diri dengan corak permainannya serta layak menggalas tugas menebus semula maruah negara di pentas berprestij Asia Tenggara tersebut.

Dalam pada itu, walaupun Malaysia tidak berada di dalam satu kumpulan bersama Thailand, pasukan lawan tersebut perlu dianggap sebagai antara pencabar terkuat dengan reputasi yang dimiliki oleh mereka.

Tidak mustahil, skuad Harimau Malaya akan bertemu mereka di pusingan separuh akhir sekiranya kita berjaya mengatasi cabaran awal di peringkat kumpulan.

Terdahulu, Thailand mudah membelasah sebuah lagi pasukan Asia Tenggara, Myanmar dengan keputusan 6-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung pada 11 Disember lalu.

Tanpa pemain seperti Chanathip dan Supachok, Thailand masih digeruni kerana mereka masih mempunyai beberapa bintang seperti Teerasil Dangda, Theerathon Bunmathan, Pansa Hemviboon dan Adisak Kraisorn.