Sanusi kembali dengan kenyataan ‘panas’, kali ini ditujukan kepada duo Menteri dan Timbalan Menteri KBS

3,711

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sememangnya popular dalam arena bola sepak tempatan kerana sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan ‘panas’.

Lebih-lebih lagi ‘perang’ mulut dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menambah rencah dan kehangatan bola sepak tempatan.


Beliau juga merupakan antara ketua yang sentiasa turun padang bukan sahaja sekadar untuk ‘menunjuk muka’ tetapi juga terlibat sendiri dalam perlawanan-perlawanan persahabatan.

Baru-baru ini, beliau dilihat terlibat dalam satu perlawanan persahabatan antara pilihan KFA vs Persatuan Bola Sepak Cina Kedah.

Dalam satu hantaran di Facebook mengenai perlawanan tersebut, Sanusi sempat membuat ‘usikan nakal’ dipercayai ditujukan kepada Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baru iaitu Hannah Yeoh dan Adam Adli.

Beliau meninggalkan komen “Bukan turun tengok padang saja boss” dipercayai merujuk kepada Hannah dan Adam yang sebelum ini membuat lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk meninjau keadaan padang.

Sudah lama rasanya tidak melihat Sanusi mengeluarkan kenyataan mengenai bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi kepada pihak lain selain TMJ.

Malah, arena bola sepak tempatan boleh dikatakan sedikit ‘kurang seri’ tanpa komen-komen panas daripada dirinya.

Walaupun berunsur perli, namun komen yang dilemparkan kali ini harus dilihat dari sudut yang positif dan dianggap sebagai satu ‘teguran’ buat pengurusan KBS yang baru supaya menunjukkan kepimpinan melalui teladan.

Sebagai seorang presiden persatuan bola sepak, Sanusi sendiri terlibat secara langsung dalam melakukan pelbagai alternatif dalam usaha membangunkan bola sepak Kedah.

Baru-baru ini, Adam mencipta kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan mengenai amalan rasuah dalam kalangan badan sukan.

Kenyataannya itu menerima reaksi negatif daripada banyak badan sukan yang menganggap ia sebagai tuduhan yang tidak berasas.

Justeru sebagai seorang yang mempunyai kuasa, beliau harus memberi justifikasi kepada dakwaan itu dan adalah lebih baik bersemuka dengan ketua-ketua badan sukan dan pemegang taruh.

Peminat sukan tanah air mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan baru terutamanya Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan kali ini dalam meningkatkan tahap sukan di negara ini.