Dijemput Presiden FIFA untuk saksikan Piala Dunia di Qatar, pengiktirafan buat Hamidin, FAM

612

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ini sedang berada di Doha, Qatar bagi menghadiri perlawanan separuh akhir dan akhir Piala Dunia 2022.

Kehadiran beliau ke negara itu adalah melalui jemputan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.


Tidak mengejutkan beliau dijemput sendiri oleh Infantino memandangkan mereka berdua Hamidin sememangnya mempunyai hubungan yang baik.

Malah, Hamidin sebelum ini pernah melakukan kunjungan hormat kepada Infantino bagi membincangkan mengenai pembangunan bola sepak serta berkongsi pendapat mengenai saingan Piala Dunia.

Ini merupakan satu petanda yang baik buat Hamidin yang dicalonkan untuk mengisi kerusi Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023 hingga 2027.

Sebelum ini, Hamidin telah dicalonkan bagi pemilihan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu bersama enam calon lain, dengan lima daripada kesemua calon itu akan dipilih untuk menjawat jawatan tersebut.

Jemputan yang diterima Hamidin itu juga dilihat merupakan satu pengiktirafan buat sumbangannya dalam dunia bola sepak.

Malaysia sendiri merupakan sebuah negara yang mempunyai pengaruh dalam bola sepak Asia, apatah lagi Asia Tenggara kerana pejabat AFF dan AFC terletak di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Hamidin turut meluangkan masa bersama Yang di-Pertuan Agong Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut hadir ke Doha untuk lawatan selama enam hari.

Kedua-dua individu yang mempunyai pengaruh besar dalam bola sepak Malaysia itu turut membincangkan mengenai hubungan Malaysia dengan negara luar terutama ahli FIFA.

Ini dilihat satu usaha yang baik dalam menguatkan lagi pengaruh Malaysia dalam bola sepak antarabangsa, selain mampu membuka jalan terhadap kerjasama kukuh dengan negara lain.