Nguyen Quang Hai sah sertai Piala AFF, namun Vietnam masih bergelut masalah kecederaan, peluang Malaysia tamatkan badi kekalahan

881

Menjelang sepak mula Piala AFF yang tinggal kira-kira seminggu saja lagi, pasukan Vietnam mendapat tonik tambahan apabila bintangnya Nguyen Quang Hai telah tiba di Hanoi untuk menyertai kem latihan pasukan.

Perkara itu pastinya mengukir senyuman buat ketua jurulatih Park Hang-seo dalam meghadapi kejohanan Piala AFF terakhir beliau bersama Vietnam sebelum melepaskan jawatan.


Sebelum ini, kelab Quang Hai, Pau FC yang bermain di Ligue 2 seakan-akan bermain ‘tarik tali’ apabila bersetuju untuk melepaskan pemain itu dan kemudian enggan melepaskannya.

Namun kini, Quang Hai muktamad akan bersama-sama pasukan Vietnam untuk merampas kejuaraan daripada Thailand.

Di sebalik berita baik itu, kem Vietnam kini dilaporkan sedang berdepan dengan masalah kecederaan selepas beberapa pemainnya dilaporkan tidak cergas ketika ini.

Menurut media tempatan, antara pemain yang berada dalam senarai kecederaan adalah Nguyen Hoang Duc dan beberapa pemain lain.

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo juga berkata keutamaannya ketika ini adalah untuk mengelakkan kecederaan dalam kalangan pemain-pemainnya.

Berita buruk buat pasukan Vietnam ini bagaimanapun satu ‘rahmat’ buat pasukan lain termasuk Malaysia yang sama-sama berada dalam kumpulan B.

Pada edisi lalu, Malaysia tewas 3-0 kepada Vietnam dalam peringkat kumpulan, di mana Hoang Duc turut menjaringkan satu gol.

Dengan Vietnam kini menghadapi masalah kecederaan, ini merupakan peluang baik buat Malaysia membalas dendam dan memastikan tidak pulang awal lagi kali ini.

Masalah kecederaan ini jelas memberi kesan kepada Vietnam yang bergelut untuk menewaskan Filipina dalam perlawanan persahabatan yang menyaksikan jaringan kemenagan terhasil pada masa kecederaan.

Dengan Malaysia juga kali ini turun tanpa ramai pemain utama, situasi yang dilalui Vietnam ini sedikit sebanyak dapat ‘menyeimbangkan’ kekuatan antara kedua-dua pasukan.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan bakal berlangsung pada 27 Disember di Hanoi, dan sekiranya ketika itu masih ramai pemain Vietnam yang belum cergas, Malaysia harus mengambil kesempatan untuk menamatkan badi kekalahan kepada Vietnam, kali terakhir berjaya mencatatkan kemenangan pada tahun 2014.