Soleen ada idea jangka masa pendek dan panjang pertingkat bola sepak wanita, bermula dengan wujudkan liga berdurasi enam bulan

312

Ketua jurulatih bola sepak wanita, Soleen Al-Zoubi terus bersemangat selepas memulakan tugasnya pada 1 Disember lalu.

Beliau yang turut berperanan besar dalam membantu pembangunan bola sepak wanita telah berkongsi tentang salah satu perancangan untuk mengadakan liga elit wanita seakan-akan Liga Super pada tahun depan berdurasi jangka masa yang jauh lebih panjang berbanding Liga Wanita Nasional (LWN).


“Mencari medium untuk berikan peluang yang lebih banyak kepada pemain-pemain muda untuk mendapatkan minit permainan.

Kita akan adakan sebuah liga utama wanita seakan-akan Liga Super yang berdurasi 6 bulan dan seterusnya disambung dengan saingan Piala Tun Sharifah Rodziah,”

katanya kepada media.

Tindakan ini adalah satu inisiatif baik namun masalah kesediaan pasukan daripada segi dana mungkin menjadi penghalang utama.

Namun, ia tidak menghalang FAM terutama sekali Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Dato’ Suraya Yaacob untuk merealisasikan perkara ini memandangkan ia akan menjadi batu loncatan terbaik kepada pasukan wanita kebangsaan.

“Tidak boleh terus menunggu kalau kita tunggu kita akan terus ke belakang ketinggalan dan sememangnya akan ada.

Cabaran adalah untuk persatuan negeri dan kelab untuk bersedia dari segi dana tapi kami akan cuba membantu merealisasikan perkara ini demi bangunkan bola sepak wanita negara.” kata Dato’ Suraya.

Dalam pada itu, Soleen juga telah menyatakan hasratnya untuk melakukan beberapa perubahan besar ke dalam skuad yang dimiliki ketika ini.

Terutama sekali dalam mencari lebih ramai pemain berkualiti untuk menggalas cabaran pasukan negara di kejohanan yang akan mendatang.

Ketika ini, pasukan bola sepak wanita dibarisi oleh para pemain yang juga bermain untuk skuad futsal negara.  

“Idea jangka masa panjang adalah untuk membezakan pemain futsal dan pemain bola sepak namun perkara tersebut perlu diperhalusi terlebih dahulu.

Kita mahu pemain muda dan baru untuk bersama kami bagi jangka masa panjang.”

Pasukan wanita negara sah akan bertanding di Sukan SEA Kemboja pada tahun hadapan selepas tidak melakukan perkara tersebut pada tahun ini.

Ia akan menjadi salah sebuah ujian buat jurulatih dari Jordan tersebut selain daripada menebus aksi longlai negara di kejohanan Piala AFF Wanita tahun hadapan.