Dato’ Suraya Yaacob percaya Malaysia ada potensi besar dalam bola sepak wanita, kehadiran Soleen suatu yang dinantikan
Pengurusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Suraya Yaacob percaya bahawa negara ada lambakan pemain yang memiliki potensi besar untuk terus digilap dan dilatih.
Tambahan pula, ketika ini telah wujud lebih banyak usaha yang memberi fokus besar kepada menyediakan medium untuk para pemain muda wanita menunjukkan bakat mereka.
“Kita ada potensi yang cukup besar untuk pembangunan dan mencapai kejayaan di peringkat Asia Tenggara.
Kita ada sekolah sukan, NFDP, PLD dan FAM sendiri yang menguruskan pembangunan bola sepak di Malaysia,”
katanya kepada media.
Pada masa yang sama, Dato’ Suraya turut bergembira dengan pelantikan ketua jurulatih baru, Soleen Al-Zoubi yang berjaya dibawa dari Jordan.
Pengalaman luas beliau mengendalikan bola sepak wanita di Jordan serta jawatannya sebelum ini di Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) akan menjadi tambah nilai terbaik kepada negara.
“Pelantikan suatu perkara yang sangat dinantikan untuk membawa bola sepak wanita Malaysia ke satu tahap yang lebih baik.
Beliau akan membantu memberi tunjuk ajar dan koordinasi dalam usaha membangunkan bola sepak wanita.”
Nampaknya Malaysia semakin serius dalam mengejar kemajuan yang berjaya dicapai oleh negara serantau yang lain dari segi pembangunan bola sepak wanita.
Pasukan Malayan Tigress pada ketika ini berada di kedudukan ke-89 dunia jauh di belakang negara jiran seperti Thailand (41), Vietnam (34) dan Filipina (53).
Vietnam dan Filipina telah berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Dunia Wanita pada tahun hadapan buat kali pertama dalam sejarah.