Azmeer Yusof kongsi pengalaman duka dilayan tidak adil, dibuang bekas kelab walaupun sebagai pemain utama

2,768

Tawaran lanjutan kontrak semestinya menjadi salah satu sasaran utama pemain lebih-lebih lagi sekiranya mereka merupakan antara barisan skuad utama pasukan.

‘Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, aksi cemerlang yang dipamerkan oleh seseorang pemain tidak menjadi tiket automatik untuknya mengesahkan tempat di sesebuah pasukan.


Bekas pemain Kedah Darul Aman FC dan BRM FC, Azmeer Yusof baru-baru ini dilihat telah berkongsi kedukaan yang dialaminya terhadap situasi seperti ini pada satu ketika dahulu.

Beliau berkata bahawa dirinya telah menerima layanan yang tidak adil daripada pihak pengurusan kelab tersebut meskipun telah membantu pasukan layak ke pentas final beberapa kali.

Bahkan, pemain lain yang tidak menonjol diberikan layanan yang lebih baik dengan tawaran lanjutan kontrak serta kenaikan gaji.

Perkara ini dilihat sebagai tindakan yang langsung tidak adil terutama sekali buat Azmeer yang merupakan pemain utama pasukan ketika itu.

Azmeer memiliki pengalaman yang agak baik memandangkan beliau pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti Kuala Lumpur, ATM dan Negeri Sembilan.

Azmeer juga merupakan antara pemain penting bagi skuad Kedah pada sekitar tahun 2016 dan 2019 di mana mereka berjaya menjuarai beberapa kejohanan seperti Piala Malaysia (2016) serta Piala FA (2019).

Perkara ini sebenarnya sering berlaku di kancah Liga Malaysia di mana ada pihak pengurusan yang tidak memandang kepada prestasi malah lebih cenderung mempertimbangkan faktor lain dalam proses menawarkan lanjutan kontrak kepada pemain-pemain tertentu.

Kejadian terbaru yang boleh dijadikan contoh adalah isu pertahanan import Terengganu FC, Pape Diakite yang dikatakan tidak menerima sebarang tawaran daripada pihak pengurusan kelab.

Perkara ini dikongsikan oleh beliau menerusi hantaran di akaun Facebook peribadinya sewaktu mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada penyokong Sang Penyu.

Walhal, Diakite telah mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan musim ini selepas berjaya membantu Terengganu meraih tangga kedua Liga Super untuk melayakkan diri ke saingan Piala AFC tahun hadapan.

Pemain berusia 29 tahun tersebut juga telah berjaya mengemudi pertahanan Terengganu dengan baik sehingga mereka meraih gelaran naib juara Piala FA serta layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Satu pencapaian yang sangat baik buat pasukan pantai timur tersebut namun pengurusan kelab tidak berusaha untuk mengekalkan khidmat pemain dari Senegal tersebut.

Harapnya di masa depan, ada penambahbaikan dapat dilakukan oleh setiap kelab bagi memastikan layanan yang lebih adil dapat diberikan kepada pemain yang telah berusaha sebaik mengerah sepenuh tenaga untuk membantu pasukan.