Mario Rivera akui masalah pemain tak ‘fit’ jadi punca Brunei tumbang 5-0 di tangan Thailand
Ketua jurulatih pasukan Brunei, Mario Rivera Compesino mengakui masalah kecergasan pemain menjadi faktor utama mereka tumpas 5-0 di tangan Thailand dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala AFF 2022 malam tadi.
Brunei beraksi dengan baik apabila mempertaruhkan corak permainan bertahan dan berjaya mengekang asakan bertali-arus dan hanya bolos 2-0 sehingga hampir tamat perlawanan, namun pada 10 minit terakhir mereka telah bolos tiga gol akibat tidak berdaya lagi.
Biarpun tewas, Rivera bagaimanapun nyata berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang sudah memberikan yang terbaik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
“Persembahan kami pada malam ini adalah aksi yang maksimum kami ketika ini dengan keadaan bola sepak Brunei ketika ini. Kami bertahan dengan baik sekali.
Saya mahu pasukan bermain menyerang tetapi mungkin mereka tidak mempunyai keyakinan kerana hampir tiga tahun tidak bermain perlawanan secara kompetitif dan perlawanan antarabangsa.
Saya gembira dengan persembahan pemain saya kerana mereka sudah beri yang terbaik dan kami akan belajar dari perlawanan malam ini untuk persedian perlawanan seterusnya,”
katanya.
Rivera mengakui mereka melepaskan tiga gol pada penghujung perlawanan kerana terlalu penat, tambahan pula pemain Thailand berada pada tahap terbaik kerana saingan liga mereka sedang berlangsung ketika ini.
“Memang sedikit kecewa kerana bolos dengan jumlah besar tapi saya tidak kecewa dengan persembahan pemain.”
Disebalik kekalahan besar pada malam ini, beliau turut melihat ada perkara positif pada pasukannya iaitu mereka bertahan dengan cukup berdisiplin dan mengikut percaturan taktikal yang telah diterapkan.
Dalam pada itu, kapten pasukan Hendra Azam Idris pula mengakui berasa sedikit kecewa dengan kekalahan pada malam ini tetapi tetap bangga dengan persembahan rakan sepasukan.
“Saya rasa setiap pemain telah memberikan aksi yang cukup baik pada malam ini. Ya, saya sedikit kecewa dengan kekalahan ini tapi kami akan jadikan perlawanan malam ini sebagai pengajaran untuk kami perbaiki kelemahan pada perlawanan seterusnya.”