Dua pemain The Red Warriors tuju #YTJT, pihak pengurusan tegaskan sudah selesai semua bayaran
Naib juara Liga Perdana, Kelantan FC baru sahaja mengumumkan pemergian pemain yang tidak akan lagi bersama pasukan tersebut bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.
Berdasarkan pengumuman tersebut, antara nama yang terlibat adalah bekas pertahanan negara, Zubir Azmi serta beberapa orang pemain muda seperti Adam Nadzmi dan Adam Malique.
Mungkin keputusan ini dibuat oleh barisan pengurusan kelab sebagai salah satu langkah yang diambil untuk melakukan persediaan bagi menghadapi musim baru yang akan menjadi lebih mencabar.
Namun, hantaran di akaun media sosial milik Zubir menarik perhatian orang ramai terutama sekali penyokong setia The Red Warriors.
Zubir seaakan-akan mempersoalkan sebuah isu serta menggunakan tanda pagar #YTJT seakan-akan memberi petunjuk terhadap sesuatu perkara.
Walau bagaimanapun, hal sebenar tidak dapat disahkan kerana tiada sebarang kenyataan langsung yang menerangkan situasi sebenar telah dikeluarkan.
Selain Zubir, seorang lagi pemain Kelantan, Jasmir Mehat turut mengeluarkan sebuah hantaran dengan tanda pagar yang sama.
Jasmir juga turut menggunakan tanda pagar yang bertulis #DoaOrangTeraniayaSentiasaTerjawab menambahkan lagi keraguan orang ramai terhadap perkara sebenar yang terjadi kepada pasukan pantai timur tersebut.
Mungkin ada perkara yang berlaku di sebalik semua ini namun gaji bukanlah isu utama tatkala pihak pengurusan Kelantan telah menyatakan bahawa mereka sudah menyelesaikan kesemua tanggungjawab kepada para pemain termasuk pembayaran gaji terakhir.
Harapnya permasalahan ini dapat diselesaikan dengan segera agar pasukan dapat terus memberikan fokus kepada persiapan untuk bersaing di Liga Super musim depan.
Terutama sekali dalam usaha untuk merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan oleh pemilik, Norizam Tukiman.
Beliau mensasarkan bahawa pasukan Kelantan FC mampu untuk menamatkan saingan Liga Super musim 2023 di kelompok 10 terbaik setelah hampir lima tahun terkandas di peringkat Liga Perdana.
Terkini, mereka difahamkan telah mendapatkan khidmat dua orang pemain baru untuk memperkuatkan pasukan.
Salah seorang daripada pemain tersebut berasal dari Senegal dan dikatakan belum pernah beraksi di mana-mana saingan liga sekitar benua Asia.
Terdahulu, mereka juga dikhabarkan sedang melalui proses perbincangan akhir dengan seorang ketua jurulatih dari Korea Selatan yang bakal dibawa masuk tidak lama lagi.
Nampaknya pasukan Kelantan memang lakukan persiapan yang cukup rapi kali ini memandangkan mereka perlu berhadapan dengan cabaran yang jauh lebih getir daripada kelab seperti Johor Darul Ta’zim FC dan Selangor FC kelak.