FAM eRimau cemerlang di minggu pertama play-ins FIFAe Nations Series 2023, ada peluang besar tebus kehampaan edisi 2022
Wakil negara di acara FIFAe, skuad FAM eRimau berjaya mempamerkan aksi yang cukup cemerlang pada minggu pertama saingan FIFAe Nations Play-Ins.
Mereka mencatatkan beberapa kemenangan termasuk ke atas negara jiran, Singapura yang juga merupakan pasukan di ranking ke-10 dunia ketika ini.
Pasukan negara yang diwakili oleh empat pemain JDT|GBX Esports iaitu Chamack, AkmalJhd, ImranDeen dan Halowake turut berjaya menumpaskan pasukan di tangga ke-13 dunia, Jepun dengan kemenangan selesa 2-0.
Kejayaan ini membolehkan Malaysia menamatkan minggu pertama play-ins zon Asia & Oceania di tangga ketiga di atas negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Hong Kong.
Keempat-pemain ini berjaya mengekalkan momentum mereka bersama JDT|GBX Esports yang kini merupakan kelab No. 1 di Asia untuk memacu Malaysia layak lebih jauh.
Pemain-pemain ini juga baru sahaja berjaya membantu pasukan JDT FC merangkul gelaran juara Piala Malaysia bagi musim ini selepas cemerlang menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 4-3 di perlawanan akhir pada November lalu.
Situasi ini membuka peluang untuk kita kembali menebus kehampaan pada edisi 2022 yang lalu tatkala perjalanan Malaysia terhenti di peringkat playoff selepas tewas di tangan Singapura dengan keputusan 2-0.
Skuad FAM eRimau ketika itu dibarisi oleh pemain yang hampir sama hanya ditambah dengan kehadiran seorang lagi bakat besar, LuqmanHzq.
Walau bagaimanapun, masih jauh perjalanan yang perlu dihadapi oleh pasukan ini memandangkan saingan play-ins baru sahaja bermula.
Mereka akan menyambung perjuangan di minggu kedua yang telah dijadual berlangsung pada 26 Januari ini.
Momentum kecemerlangan yang dimiliki ketika ini perlu diteruskan bagi membolehkan Malaysia dapat menempatkan diri di kalangan 23 negara terbaik yang bakal beraksi di kejohanan utama tersebut tahun hadapan.